Kerajaan digesa pinda peruntukan Jasa kepada KPM

Nie Ching
Nie Ching
A
A
A

KUALA LUMPUR - Kerajaan digesa meminda peruntukan sebanyak RM85.5 juta untuk Jabatan Hal Ehwal Khas (Jasa) kepada Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM) sebagai bantuan peranti pembelajaran dalam talian pelajar yang memerlukan.

Ahli Parlimen Kulai, Teo Nie Ching berkata, jumlah komputer riba untuk 150,000 pelajar yang akan disumbangkan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC) yang diumumkan dalam Belanjawan 2021 terlalu kecil berbanding jumlah pelajar yang memerlukan.

Menurutnya, kajian yang telah dilakukan KPM mengenal pasti 36.9 peratus daripada 893,331 pelajar tidak memiliki sebarang peranti untuk mengikuti pembelajaran dalam talian.

"Kajian ini melibatkan seramai 670,118 ibu bapa kepada 893,331 pelajar. Di Malaysia kita mempunyai sejumlah 4.7 juta pelajar sekolah rendah dan menengah.

"Kita juga mahu tanya bila sumbangan GLC dan GLIC sebanyak RM150 juta untuk komputer riba ini akan sampai ke Tabung Cerdik. Adakah perlu tunggu sehingga Disember 2021 baru dapat semua.

"Jadi saya cadangkan agar gunakan peruntukan RM85.5 juta kepada Jasa diberikan kepada KPM untuk menyediakan peranti kepada pelajar yang tiada peranti di rumah," katanya pada sidang media di Parlimen hari ini.

Tambah beliau yang juga bekas Timbalan Menteri Pendidikan, selain komputer riba, penyediaan tablet kepada pelajar memerlukan juga wajar dipertimbangkan menggunakan peruntukan tersebut.

"Dengan anggaran harga antara RM600 hingga RM800 bagi satu unit, kita akan dapat sekurang-kurang 103,875 unit hingga 140,500 tablet untuk murid-murid," katanya.

Artikel Berkaitan: