Premis tidak berlesen dikenal pasti penyebab pencemaran bau

Operasi bersepadu melibatkan beberapa agensi semalam berjaya mengenal pasti punca pencemaran bau Sungai Selangor. - Foto Kementerian Alam Sekitar dan Air
Operasi bersepadu melibatkan beberapa agensi semalam berjaya mengenal pasti punca pencemaran bau Sungai Selangor. - Foto Kementerian Alam Sekitar dan Air
A
A
A

SHAH ALAM - Sebuah premis tidak berlesen di Taman Velox Rawang yang mengalirkan buangan berpigmen secara haram dikenal pasti sebagai punca pencemaran bau sehingga menyebabkan henti tugas Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Selangor Fasa 1, 2, 3 dan Rantau Panjang semalam.

Menteri Alam Sekitar dan Air, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, bahan buangan berpigmen disyaki sebagai buangan terjadual (BT) itu dialirkan ke sistem pembetungan Indah Water Konsortium (IWK) melalui lubang tandas dan inspection chamber yang terdapat di premis berkenaan.

Menurutnya, penemuan awal mendapati bau bahan yang ditemui adalah sama seperti bau di Loji Rawatan Kumbahan IWK dan LRA.

"Kesemua sampel telah diambil oleh Jabatan Alam Sekitar (JAS) dan akan dianalisis oleh Jabatan Kimia Malaysia.

"Premis tersebut telah disita oleh Majlis Perbandaran Selayang (MPS) dan pihak PDRM telah berjaya menahan empat orang suspek termasuk seorang penyewa premis terbabit.

"Tindakan pantas dan kerjasama yang erat antara agensi-agensi kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri Selangor telah berjaya menyelesaikan kes ini dalam masa kurang 24 jam," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Ujar beliau, pihak industri atau mana-mana individu dilarang sama sekali untuk melupuskan buangan terjadual secara haram.

Katanya, buangan tersebut hendaklah dikitar semula atau dilupuskan di premis yang dilesenkan oleh JAS sahaja kerana boleh mendatangkan risiko kesihatan kepada manusia selain pencemaran air, udara dan tanah.

Artikel Berkaitan:

"Kementerian ingin mengingatkan bahawa tindakan tegas akan diambil ke atas mana-mana pihak yang didapati menjadi penyebab kepada pencemaran air sungai di bawah Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974," jelasnya.

Tuan Ibrahim berkata, di bawah akta tersebut, seseorang yang disabitkan kesalahan mengikut Seksyen 25 (Sekatan Mengenai Pencemaran Perairan Daratan) boleh dikenakan denda RM100,000 atau penjara maksimum lima tahun atau kedua-duanya sekali.

Menurutnya, di bawah Seksyen 34A pula, denda RM500,000 atau penjara maksimum lima tahun atau kedua-duanya boleh dikenakan bagi kesalahan menjalankan aktiviti tanpa mendapat kelulusan laporan penilaian kesan kepada alam sekeliling.

"Tindakan tegas akan diambil di bawah Seksyen 34B (Larangan terhadap penempatan, peletakan dan sebagainya bahan terjadual) dan pihak yang disabit kesalahan dihukum penjara mandatori serta denda maksimum sebanyak RM500,000.

"Seksyen 50 (1) Akta Industri Perkhidmatan Air 2006 (Akta 655), dan sekiranya disabit kesalahan boleh didenda tidak melebihi RM300,000 atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya seperti yang diperuntukkan di bawah Seksyen 50 (2)," katanya.