RC Crawler 'hobi mewah’ orang kita

RC Crawler menjadi hobi dalam masa yang sama meningkatkan stamina badan melalui aktiviti mendaki bukit sambil membawa bersama kenderaan mini tersebut.
RC Crawler menjadi hobi dalam masa yang sama meningkatkan stamina badan melalui aktiviti mendaki bukit sambil membawa bersama kenderaan mini tersebut.
A
A
A

KUALA TERENGGANU – Saiznya yang 10 kali lebih kecil berbanding kereta sebenar, namun lasak mendaki laluan mencabar antara sebab permainan kereta mini pacuan empat roda (4x4) kawalan jauh (RC) 'Crawler' digilai dan menjadi hobi ‘mewah’ terutama bagi lelaki dewasa.

Penasihat Kelantan RC Crawler Club, Akmal Abdullah, 47, berkata, beliau mula berjinak dengan hobi itu sejak 20 tahun lalu.

“Kereta bersaiz mini ini ada banyak gred. Gred permulaan ia berada dalam kelas mainan (toys) kemudian pergi ke tahap minat (hobbies) sebelum ke peringkat pengumpul (collector).

“Sebelum ke peringkat ini (hobi) minat saya ini bermula dengan modal yang rendah sekitar 20 tahun lalu di mana saya hanya memiliki kereta pada gred toys. Pada peringkat ini kalau rosak agak sukar untuk dibaiki semula,” katanya ketika ditemui selepas menyertai program mendaki bersama RC di Bukit Besar di sini pada Sabtu lalu.

Akmal yang merupakan seorang kelasi kapal berkata, impian untuk memiliki kenderaan kecil itu mampu direalisasikan setelah usia dewasa.

Katanya, kebanyakan peminat permainan itu bermula dengan modal sekitar RM1,000 bergantung pada jenis kenderaan.

Sebahagian daripada peminat RC Crawler dari Kelantan pahang dan Terengganu membawa kereta masing-masing mendaki Bukit Besar, Kuala Terengganu pada 7 November lalu.
Sebahagian daripada peminat RC Crawler dari Kelantan pahang dan Terengganu membawa kereta masing-masing mendaki Bukit Besar, Kuala Terengganu pada 7 November lalu.

“Dulu-dulu kita tidak mampu untuk beli dan memiliki kereta ini. Jadi, apabila sudah bekerja dan memiliki kewangan yang agak kukuh, barulah kita mampu belanjakan untuk memenuhi minat dan hobi terhadap kenderaan bersaiz mini ini.

Artikel Berkaitan:

“Biasanya peminat RC Crawler akan ada kumpulan yang boleh dirujuk sama ada untuk mendapatkan model kereta atau barang-barang aksesori.

“Misalnya kereta model Land Cruiser ia sama sahaja dengan kereta asal dengan nisbah 1x10. Tempoh pembuatannya juga mengambil masa agak lama kerana ia dibina sedikit demi sedikit dengan modal keseluruhan sekitar RM6,000," katanya.

Sementara itu, Ahli Jawatankuasa (AJK) Kuantan Crawlers, Azlan Shah Abdullah, 59, berkata, minat terhadap kenderaan bermotor sudah menjadi kelaziman bagi seorang lelaki lebih-lebih lagi jika ia dibina hasil usaha dan kreativiti sendiri.

“Hobi terhadap kereta bersaiz mini yang lasak ini bukan sekadar untuk bermain sahaja. Minat akan semakin bertambah sekiranya kita sendiri yang bina, baiki dan tambah aksesori mini pada kenderaan itu dan dalam masa yang sama kita bertemu pula dengan mereka yang sama hobi.

“Enam hingga tujuh tahun lalu agak sukar untuk mendapatkan aksesori atau ‘body’ kereta ni sekarang dengan teknologi maklumat yang lebih canggih, ia mudah didapati melalui carian di internet dan perkongsian bersama rakan-rakan dalam kumpulan,” katanya.

Akmal bersama kereta mini 4x4 yang dibawa untuk mendaki Bukit Besar, Kuala Terengganu bersama rakan-rakan yang lain dalam program yang dijalankan Ahad lalu.
Akmal bersama kereta mini 4x4 yang dibawa untuk mendaki Bukit Besar, Kuala Terengganu bersama rakan-rakan yang lain dalam program yang dijalankan Ahad lalu.

Ditanya dari segi ketahanan bateri yang digunakan untuk memastikan kenderaan itu boleh berfungsi dengan baik katanya, ia bergantung kepada trek yang dilalui kenderaan terbabit.

“Ada yang menggunakan bateri dengan ketahanan 1,500 milli-amps-hour (mAh) dan ada juga sehingga 6,000 mAh bergantung kepada kesesuaian tempat dan trek yang dilalui untuk bermain kereta,” katanya.

Sementara itu, Presiden Kole Ganu Crawler Club (KGCC), Hadi Syafiq Maula Ali, 33, berkata, program mendaki bersama RC diadakan di Bukit Besar, Kuala Terengganu Ahad lalu bagi mengeratkan hubungan antara peminat permainan itu dari Kelantan, Terengganu dan Pahang.

“Untuk pendakian kali ini kita cipta kelainan dengan bawa bersama kereta mini masing-masing. Pendakian yang dibuat pula lebih santai. Di samping boleh hilangkan tekanan ia juga boleh menyihatkan badan," katanya.

Beliau berkata, KGCC yang menjadi perintis kelab di Terengganu kini mempunyai seramai 30 ahli dan sering berkongsi minat dan hobi untuk bermain kereta itu di kawasan bukit di daerah ini.

“Kita dah mulakan aktiviti mendaki bersama RC sejak dua bulan lalu. Di Terengganu terutama di kawasan bandar kita tiada banyak pilihan kawasan untuk bermain kenderaan ini jadi kita pilih untuk mendaki Bukit Besar bersama rakan-rakan yang lain.

“Selain Bukit Besar, kita juga pernah mendaki bersama RC di Bukit Depu dan Bukit Maras. Laluan di Bukit Depu agak mencabar berbanding kawasan lain,” katanya.

Peminat RC Crawler dari Kelantan, Terengganu dan Pahang merakam gambar kenangan ketika menyertai program hiking bersama RC yang diadakan di Bukit Besar, Kuala Terengganu pada 7 November lalu.
Peminat RC Crawler dari Kelantan, Terengganu dan Pahang merakam gambar kenangan ketika menyertai program hiking bersama RC yang diadakan di Bukit Besar, Kuala Terengganu pada 7 November lalu.

Katanya, KGCC kini dalam proses menganjurkan perlawanan mini antara pasukan dari pantai timur sekiranya penularan pandemik koronavirus (Covid-19) dapat dikawal dan dipulihkan.

“Kita berhasrat untuk menganjurkan perlawanan bersama pasukan lain dari pantai timur. Kita jangka ia dilaksanakan selepas Covid-19 beransur pulih kerana buat masa ini pergerakan juga telah dihadkan disebabkan penularan semula wabak ini di dalam negara,” katanya.