Militan: 10 individu dari Melaka ditahan

Gambar hiasan
A
A

MELAKA - Sejak penubuhan ‘Bahagian Counter-Terrorism’ Kontinjen Melaka pada Mei 2016 sehingga kini, seramai 10 individu di negeri ini telah ditahan kerana terlibat dalam kegiatan militan.

Ketua Polis Melaka, Datuk Raja Shahrom Raja Abdullah berkata, berdasarkan jumlah tersebut, satu indikator serius dengan pemantauan rapi secara berterusan diperlukan bagi membanteras penularan fahaman ekstrem ini.

Beliau berkata, kumpulan pengganas ini memberi gambaran bahawa Malaysia bukan sekadar menjadi negara transit, malah berperanan sebagai sebahagian daripada sasaran mereka.

"Ancaman kini lebih pantas dan sukar dikesan apabila mereka (pengganas) menggunakan internet sebagai medium melakukan kegiatan termasuk laman sosial Facebook, Instagram dan aplikasi Whatsapp dalam menyebarkan ajaran yang kononnya disifatkan sebagai jihad suci, berbanding taktik lama yang mana pendoktrinan melalui usrah dan perjumpaan sulit.

"Selain itu, fahaman bahawa pengikut boleh berjihad di negara masing-masing tanpa perlu ke negara Iraq atau Sham menarik minat mereka yang cetek agama menyertai kumpulan pengganas ini, terutamanya golongan muda," katanya ketika berucap pada Perhimpunan Bulanan Ibu Pejabat Polis Kontijen Melaka di sini, hari ini.

Raja Shahrom berkata, kegiatan tersebut umpama 'virus' dalam masyarakat termasuk penjawat awam di negeri itu apabila mengundang persepsi negatif terhadap penganut Islam yang dilabel sebagai agama yang 'menghalalkan' keganasan dan menganggap jihad sebagai salah satu bentuk latihan bagi melatih pengganas.

"(Bagaimanapun) semua anggota keselamatan sentiasa komited dan menjalin kerjasama untuk meningkatkan rondaan dan kawalan berterusan bagi mengatasi ancaman berkenaan," katanya. - Bernama


Bermula dengan hanya RM5 anda telah menyokong Berita Fakta dan Komprehensif kami, sokong berita kami.
Terima Kasih Rakyat Malaysia