Penahanan di bawah POCA berdasarkan kesalahan

Mohamad Fuzi (kiri) ketika menyampaikan Pingat Jasa Pahlawan Negara di IPK Kedah. Foto: IPK KEDAH
Mohamad Fuzi (kiri) ketika menyampaikan Pingat Jasa Pahlawan Negara di IPK Kedah. Foto: IPK KEDAH
A
A
A

ALOR SETAR - Penahanan pesalah juvana di bawah Akta Pencegahan Jenayah (POCA) 1959 tidak dilaksanakan secara sesuka hati sebaliknya ia dibuat berdasarkan pembabitan mereka dalam kegiatan jenayah.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohamad Fuzi Harun berkata, penahanan juvana berkenaan diputuskan mengikut peruntukan sedia ada dan Lembaga Pencegahan Jenayah.

Mohamad Fuzi berkata, pesalah juvana berkenaan dikenakan tahanan di bawah POCA berikutan penglibatan mereka dalam aktiviti jenayah seperti jenayah berat, gaduh dan kongsi gelap mahupun gengsterisme.

"Penahanan pesalah terbabit adalah berdasarkan keputusan mahkamah dan lembaga bagi mengekang mereka daripada aktiviti jenayah, dan ia tidak dilakukan sewenang-wenangnya.

"Kita tidak melaksanakannya sesuka hati, hanya menjalankan mengikut arahan Lembaga," katanya.

Beliau berkata sedemikian dalam sidang media selepas menyampaikan Pingat Jasa Pahlawan Negara kepada 293 penerima di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kedah, di sini, hari ini.

Turut hadir, Ketua Polis Kedah, Datuk Abd Rahim Jaafar.

Katanya, berdasarkan rekod, hanya seorang pesalah di bawah POCA masih ditahan di Pusat Pemulihan Khas Simpang Renggam, Johor ketika ini, manakala 56 lagi berada di bawah pengawasan undang-undang itu.

Artikel Berkaitan:

Mohamad Fuzi (kanan) memakaikan Pingat Jasa Pahlawan Negara Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kedah Senior Asisten Komisioner Mior Farid Al Athrash Wahid. Foto: IPK KEDAH
Mohamad Fuzi (kanan) memakaikan Pingat Jasa Pahlawan Negara Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kedah Senior Asisten Komisioner Mior Farid Al Athrash Wahid. Foto: IPK KEDAH

Katanya, pesalah juvana ditahan Pusat Pemulihan Khas Simpang Renggam itu sudah berusia lebih 17 tahun dan mungkin boleh dibebaskan selepas tempoh tahanan selesai.

Sebelum ini, Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam) dan Suara Rakyat Malaysia (Suaram) menuntut keadilan dan pembelaan sewajarnya kepada 142 juvana ditahan di bawah POCA kerana penahanan itu didakwa memberi impak negatif kepada mereka.

Dalam perkembangan lain, Mohamad Fuzi berkata, pihaknya tidak akan memberikan kenyataan lanjut berhubung isu kem tahanan pemerdagangan manusia dan penemuan kubur besar di Wang Kelian, Perlis kira-kira tiga tahun lalu.

Beliau menjelaskan, pada waktu ini tidak sesuai untuk memberi sebarang kenyataan berikutan kerajaan telah menubuhkan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) bagi menyiasat isu tersebut.

Polis hanya akan memberi kerjasama kepada RCI dan segala persoalan akan ditanya dalam proses RCI itu yang dijangka mengambil masa antara satu hingga enam bulan.

Beliau berkata sedemikian ketika diminta mengulas dakwaan bekas wartawan akhbar berbahasa Inggeris melahirkan kekecewaannya kerana tidak diberikan pengiktirafan sewajarnya berkaitan isu kem tahanan pemerdagangan manusia dan penemuan kubur besar itu.