Cemas sambut kelahiran bayi di stesen LRT Puchong Prima

Shahira Nurdiyana menerima cenderahati daripada Norlia (kanan) sebagai penghargaan keberaniannya mengendalikan memyambut kelahiran bayi dalam kejadian di LRT Puchong Prima semalam.
Shahira Nurdiyana menerima cenderahati daripada Norlia (kanan) sebagai penghargaan keberaniannya mengendalikan memyambut kelahiran bayi dalam kejadian di LRT Puchong Prima semalam.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Staf Rapid KL Laluan Sri Petaling, Shahira Nurdiyana Rauf, 32, bersama rakan sekerjanya melalui detik cemas apabila terpaksa menjadi bidan terjun menyambut kelahiran seorang bayi di Stesen LRT Puchong Prima semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 6.30 petang itu, Shahira Nurdiyana yang sedang berehat terdengar jeritan daripada rakan sekerjanya meminta bantuan.

Menurut kenyataan Rapid KL hari ini, seorang wanita yang berusia 36 tahun mengadu sakit perut dan menunjukkan tanda-tanda untuk melahirkan anak berhampiran kaunter tiket.

"Melihat keadaan tersebut, kakitangan stesen dengan dibantu oleh penyelia pembersihan membawa wanita terbabit ke bilik rawatan yang terdapat di stesen.

"Ketika menanti pasukan perubatan tiba, wanita terbabit telah selamat melahirkan bayi lelaki dengan dibantu kakitangan operasi Rapid KL yang bertindak sebagai bidan.

"Wanita dan bayi tersebut dibawa dengan ambulan ke Hospital Serdang untuk menerima rawatan," kata kenyataan itu.

Menurut kenyataan sama, Shahira Nurdiyana yang baru memulakan tugas setelah selesai cuti berpantang anak kedua meluahkan rasa syukur selepas bayi dan wanita berkenaan selamat dan berada dalam keadaan sihat.

"Pengalaman melahirkan dua cahaya mata dan sifat keibuan yang dimiliki turut membantunya mengendalikan situasi cemas itu.

Artikel Berkaitan:

"Saya akui pada mulanya turut berdebar namun menguatkan hati dan cuba sedayanya untuk memberi pertolongan kepada wanita itu," katanya.

Sementara itu, tindakan Shahira telah mendapat penghargaan daripada pengurusan Prasarana yang mengadakan majlis ringkas di Ibu Pejabat Prasarana di Menara UOA Bangsar hari ini.

Ketua Pegawai Operasi Kumpulan Prasarana, Datin Norlia Noah menyampaikan saguhati kepada Shahira atas tanda terima kasih syarikat selain memuji keberanian stafnya dalam mengendalikan situasi cemas itu.

Menurut kenyataan Rapid KL, semua kakitangan barisan hadapan sememangnya Prasarana diberikan latihan dalam mengendalikan kes kecemasan dan bantuan perubatan asas yang termaktub di dalam kursus wajib lulus bagi setiap kakitangan barisan hadapan.

"Walaupun skop bidan ini bukan teras petugas barisan hadapan kakitangan rel operasi, namun pengetahuan asas pertolongan cemas yang dimiliki dapat membantu pengguna yang memerlukan bantuan," katanya.