KPDNHEP Kelantan lupus barangan tiruan bernilai lebih RM1.59 juta

Adnan (tengah) menggunting jersi tiruan ketika proses pelupusan yang dibuat di Stor Penyimpanan Eksibit KPDNHEP, di Pengkalan Chepa hari ini.
Adnan (tengah) menggunting jersi tiruan ketika proses pelupusan yang dibuat di Stor Penyimpanan Eksibit KPDNHEP, di Pengkalan Chepa hari ini.
A
A
A

KOTA BHARU-Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Kelantan melupuskan pelbagai barangan jenama tiruan dan barang kawalan bernilai lebih RM1.59 juta hari ini.

Pengarahnya, Adnan Abd Rahman berkata, barangan yang dilupuskan itu membabitkan 752 kes bermula Januari sehingga kini yang selesai menjalani proses mahkamah.

Menurutnya, kesemua barangan yang dilupuskan adalah melibatkan pelanggaran Akta Kawalan Bekalan 1961, Akta Perihal Dagangan 2011, Akta Hak cipta 1987 dan Akta Perlindungan Pengguna 1999.

“KPDNHEP Kelantan telah melaksanakan lima kali pelupusan sepanjang tahun ini dan antara yang dilupuskan adalah selipar, jersi, beg tangan pelbagai jenama termasuk 22 kenderaan pelbagai jenis.

“Berdasarkan data pelupusan eksibit, pada tahun lalu sebanyak 13 kali pelupusan dibuat berbanding tahun ini hanya lima kali,” katanya pada sidang akhbar di Stor Penyimpanan Eksibit KPDNHEP, di Pengkalan Chepa hari ini.

Dalam masa sama, Adnan secara berterusan memberikan amaran kepada mana-mana individu atau sindiket penyelewengan serta penyeludupan barang kawalan agar menghentikan kegiatan kerana tindakan tegas akan diambil termasuk kenderaan dilucut hak.

Sementara itu, Adnan turut mengingatkan orang ramai supaya tidak mudah terpedaya dengan tawaran pembelian dalam talian dengan harga murah menjelang 11 November ini dan menyemak terlebih dahulu sebelum membuat pembelian.

Katanya, pihaknya menerima sebanyak 183 aduan berkaitan pembelian dalam talian yang mana penjual tidak menghantar barangan yang dipesan oleh pembeli.

Artikel Berkaitan:

“Kebanyakannya membabitkan pembelian pakaian. KPDNHEP juga mendapat aduan dua kes penghantaran barangan tiruan kepada pengguna yang dibeli secara dalam talian,” katanya.