Sidang DUN Kedah tunggu keputusan MKN

Muhammad Sanusi (kanan) dan Takiyuddin pada sidang akhbar di Wisma Darul Aman, Alor Setar hari ini.
Muhammad Sanusi (kanan) dan Takiyuddin pada sidang akhbar di Wisma Darul Aman, Alor Setar hari ini.
A
A
A

ALOR SETAR - Keputusan meneruskan Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedah pada 15 hingga 19 November ini tertakluk kepada kebenaran Majlis Keselamatan Negara (MKN) berikutan tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).

Menteri Besar Kedah, Muhammad Sanusi Md Nor berkata, pihaknya sudah merujuk perkara tersebut kepada MKN negeri dan kini sedang menanti kata putus MKN Pusat.

Menurutnya, sekiranya Sidang DUN dibenarkan, ia bakal berlangsung mengikut prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan MKN dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

"Pihak saya sudah rujuk MKN negeri untuk rujuk dengan MKN Pusat sama ada Sidang DUN perlu dibuat separuh hari atau dipendekkan masa.

"Kita bergantung kepada pandangan MKN. Pihak MKN akan maklumkan kepada saya sama ada ia patut dilangsungkan atau bagaimana, Insya-ALLAH petang ini saya akan dapat maklumat itu.

"Setakat ini ia diteruskan, mungkin penyertaaan pada persidangan itu kurang atau kita buat separuh hari dan seminimum yang boleh," katanya selepas mengadakan mesyuarat bersama Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Takiyuddin Hassan di Wisma Darul Aman di sini hari ini.

Semalam, Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaacob mengumumkan PKPB diperluaskan ke tujuh lagi negeri di Semenanjung Malaysia kecuali Pahang, Perlis dan Kelantan selama empat minggu bermula esok hingga 6 Disember ini.

Menurutnya, pelaksanaan PKPB dibuat selepas berlakunya peningkatan kes Koronavirus (Covid-19) di Kedah, Pulau Pinang, Perak, Negeri Sembilan, Melaka, Johor dan Terengganu.

Artikel Berkaitan: