X

Kindly register in order to view this article
!

Obama ucap tahniah kepada Biden, Harris

Barack Obama mengucapkan tahniah kepada calon Demokrat, Joe Biden yang kini sah menjadi Presiden AS yang baharu. - Foto FB Barack Obama
A
A

WASHINGTON - Bekas Presiden Amerika Syarikat (AS) yang ke-44, Barack Obama mengucapkan tahniah kepada calon Demokrat, Joe Biden yang kini sah menjadi Presiden AS yang baharu.

Menurut Obama, beliau berbangga dalam pilihan raya yang amat sukar kali ini kesan daripada pandemik koronavirus (Covid-19), rakyat AS memberi kepercayaan kepada gabungan Biden dan Harris untuk mentadbir negara itu.

"Saya berbangga dan mengucapkan tahniah kepada Presiden kami yang seterusnya, Joe Biden dan Wanita Pertama, Jill Biden.

"Saya juga amat berbangga dan mengucapkan tahniah kepada Kamala Harris dan Doug Emhoff sebagai Naib Presiden kami yang baharu," katanya dalam satu kenyataan awal pagi tadi.

Tambah Obama, beliau yakin Biden dan Harris akan melakukan kerja yang terbaik untuk setiap rakyat AS, sama ada yang telah mengundi mereka atau pun tidak.

"Saya berharap untuk rakyat AS memberi peluang dan meletakkan sokongan kepada Biden dan Harris.

"Ini kerana apabila Biden memasuki Rumah Putih Januari nanti, mereka akan berdepan dengan cabaran luar biasa yang tidak pernah dilalui oleh Presiden sebelum ini.

"Pandemik Covid-19 yang terus mengganas, ketidaksamaan sistem ekonomi dan keadilan meletakkan demokrasi dalam risiko," katanya.

Obama juga menyeru rakyat AS untuk kembali bersatu selepas mengharungi pilihan raya Presiden yang amat meletihkan.

"Saya ingin berterima kasih kepada semua yang bekerja dan berkempen untuk Biden serta yang terlibat dalam apa juga cara dalam pilihan raya ini.

"Usaha anda berjaya menghasilkan perubahan. Saya tahu ia mungkin meletihkan, tetapi terus bersama dan nikmati kejayaan ini.

"Saya dan Michelle akan terus memberikan sokongan sedaya mungkin kepada Presiden dan Wanita Pertama yang baharu," katanya.

Biden tengah malam tadi diumumkan sebagai Presiden AS yang ke-46 setelah memperoleh 290 undi elektoral meninggalkan Donald Trump yang mengumpul 214 undi elektoral.

ARTIKEL BERKAITAN: Trump 'You're fired', Biden kini Presiden AS


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!