Hannah ucap tahniah kepada Azizulhasni

Hannah Yeoh
Hannah Yeoh
A
A
A

MENTERI Belia dan Sukan Hannah Yeoh mengucapkan tahniah kepada jaguh berbasikal trek negara Datuk Mohd Azizulhasni Awang, yang menghadiahkan kilauan emas berganda pada Kejohanan Berbasikal Trek Asia (ACC) di Velodrom Nasional, Nilai.

Hannah berkata, beliau akan memastikan mesyuarat dengan Jawatankuasa Road To Gold (RTG) esok, akan membincangkan aspek keperluan yang diperlukan Mohd Azizulhasni untuk memastikan kejayaannya terus dapat dicapai, di peringkat antarabangsa.

"Saya ucap tahniah kepada Azizulhasni menang emas dan Muhammad Shah Firdaus Sahrom (kejayaan di ACC) dan esok semasa mesyuarat RTG kita lihat bagaimana boleh tingkatkan lagi sokongan buat kedua-dua atlet itu," katanya kepada pemberita di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada Ahad.

Mohd Azizulhasni yang dikenali sebagai The Pocket Rocketman merangkul gelaran keirin lelaki dengan mengenepikan cabaran getir tiga pelumba Jepun, hari ini.

Kemenangan itu menyaksikan beliau mencipta legasi sendiri untuk meraih pingat emas ke-12 di ACC, selain menamatkan penantian lapan tahun untuk kembali bergelar 'Raja Keirin Asia', selepas edisi 2015 di Nakhon Ratchasima, Thailand.

Mohd Azizulhasni turut meraih kejuaraan acara pecut elit lelaki buat kali ketujuh pada Jumaat lepas (16 Jun), selepas edisi 2008, 2009, 2014, 2017, 2019 dan 2020.

Hannah memaklumkan mesyuarat itu turut akan membincangkan keperluan dan bentuk sokongan yang diperlukan kesemua 15 atlet, yang telah tersenarai dalam RTG.

Atlet yang terlibat selain Mohd Azizulhasni dan Muhammad Shah ialah jaguh badminton negara, Lee Zii Jia serta empat pasangan atlet badminton iaitu Aaron Chia dan Soh Wooi Yik (beregu lelaki), Ong Yew Sin dan Teo Ee Yi (beregu lelaki), Pearly Tan dan M. Thinaah (beregu wanita), Tan Kian Meng dan Lai Pei Jing (beregu campuran), serta Goh Soon Huat dan Shevon Lai Jemie (beregu campuran).

Turut tersenarai, atlet akuatik terjun Datuk Pandalela Rinong Pamg dan Nur Dhabitah Sabri.

Ditanya adakah beliau terkejut selepas Zii Jia mengumumkan mahu berehat sementara waktu daripada menyertai kejohanan badminton, Hannah berkata ia adalah fasa turun naik yang dihadapi oleh atlet.

"Saya tidak terkejut (Zii Jia umum berehat sementara waktu) sebab untuk atlet naik turun menang kalah memang dah biasa, jadi kita ada hari yang cemerlang dan juga tidak. Namun, konsisten bagi atlet itu adalah penting dan esok kita akan bincangkan," katanya.

Zii Jia tewas seawal pusingan pertama Kejohanan Terbuka Indonesia 2023 pada Rabu (14 Jun), kepada pemain India Lakshya Sen 21-17, 21-13, dalam tempoh 33 minit di Stadium Istora Senayan.

Selepas kekalahan itu, Zii Jia mengumumkan beliau mengambil keputusan untuk berehat sementara waktu daripada menyertai kejohanan badminton, namun tidak mendedahkan berapa lama tempoh rehat yang akan diambil oleh beliau. - Bernama