Peneroka Felda lega kerajaan hapus faedah hutang kebun

Peneroka Felda gembira apabila kerajaan memperuntukkan RM400 juta untuk menghapuskan faedah hutang kebun peneroka.
Peneroka Felda gembira apabila kerajaan memperuntukkan RM400 juta untuk menghapuskan faedah hutang kebun peneroka.
A
A
A

JENGKA - Keputusan kerajaan menghapuskan faedah hutang kebun peneroka Felda bagi membantu golongan terbabit menerusi peruntukan RM400 juta dalam pembentangan Belanjawan 2021 semalam menjadi khabar gembira buat mereka.

Ketua Peneroka Wilayah Jengka, Sulaiman Bakar, 68, menyifatkan keputusan itu satu tindakan yang tepat dan melegakan golongan peneroka yang sekian lama menanti penghapusan faedah hutang kebun milik mereka.

Sulaiman Bakar
Sulaiman Bakar

Menurutnya, dia sememangnya telah menjangkakan kerajaan akan berbuat demikian dalam pembentangan belanjawan pada kali ini dan akhirnya ia menjadi realiti.

"Sememangnya ini yang kita harapkan daripada kerajaan selama ini dan kita juga sentiasa berjuang ke arah itu.

"Jadi kami amat menghargai keputusan yang dibuat oleh kerajaan selain menyediakan program pembangunan peneroka bagi mendapatkan hasil baharu seperti yang diumumkan dalam Belanjawan 2021 semalam," katanya.

Sementara itu, Pengerusi Biro Sosial Wilayah Jengka, Razak Daud, 60, menyifatkan tindakan tersebut menggambarkan keprihatinan kerajaan terhadap golongan peneroka Felda.

Razak Daud
Razak Daud

Artikel Berkaitan:

Katanya, keputusan itu amat dinantikan oleh peneroka selama ini agar kerajaan dapat menghapuskan faedah hutang sekali gus mengurangkan beban yang ditanggung.

"Selain itu, peneroka turut mengharapkan agar kerajaan juga dapat menghapuskan hutang pembangunan ladang sekurang-kurangnya 50 peratus sekali gus dapat membantu meningkatkan pendapatan minima peneroka RM5,000 sebulan seperti kehendaki oleh pihak Felda," katanya.

Dalam pada itu, Razak turut mengharapkan isu masalah perumahan generasi kedua Felda dapat diatasi segera.