Bajet 2021 berita gembira untuk rakyat, MOSTI: Ahmad Amzad

Ahmad Amzad Hashim
Ahmad Amzad Hashim
A
A
A

KUALA LUMPUR - Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI), Ahmad Amzad Hashim berpandangan, Belanjawan 2021 adalah berita gembira kepada rakyat dan pihak MOSTI sendiri.

Menurutnya, MOSTI antara barisan hadapan dalam mendepani cabaran digital dan wabak koronavirus (Covid-19) mendapat peruntukan tambahan sebanyak hampir RM38 juta iaitu RM935.4 juta berbanding Bajet 2020 iaitu sebanyak RM897.6 juta.

"Daripada jumlah tersebut, RM425.2 juta adalah bagi perbelanjaan pembangunan yang akan memberi manfaat besar kepada kelestarian inovasi syarikat syarikat start-up dan teknologi dalam negara.

"Ini termasuk RM20 juta masing-masing untuk program pembangunan perusahaan sosial dan program pembudayaan sains di peringkat komuniti," katanya kepada Sinar Harian hari ini.

Ahli Parlimen Kuala Terengganu itu berkata, keseriusan kerajaan dalam menangani wabak Covid-19 terbukti melalui peruntukan sebanyak RM3 bilion bagi pembangunan dan bekalan vaksin untuk wabak tersebut.

"Ia adalah jumlah sama yang telah dipohon oleh Menteri MOSTI, Khairy Jamaluddin kepada Perdana Menteri (Tan Sri Muhyiddin Yassin) dan Menteri Kewangan pada awal bulan lepas," katanya.

Tambah beliau, secara keseluruhan bagi rakyat, beliau melihat bahawa kerajaan telah berusaha dari segenap segi untuk meringankan beban rakyat dengan mengambil kira kemampuan kewangan negara.

"Kebenaran bersasar pengeluaran Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), moratorium untuk individu layak, subsidi buat majikan yang terkesan, program pekerjaan semula, bantuan tunai (BPR) yang diperluas serta kewujudan semula bantuan bagi nelayan; petani; penoreh getah dan peladang adalah antara 'highlight' yang akan memberi sinar kepada rakyat," ujarnya.

Artikel Berkaitan: