Statistik belum tentukan apa-apa, kata kapten JDT

Harris (kiri) memegang Piala Sumbangsih bersama Shahrul pada sidang media berkenaan
Harris (kiri) memegang Piala Sumbangsih bersama Shahrul pada sidang media berkenaan
A
A
A

KAPTEN Johor Darul Ta'zim (JDT), Harris Harun tidak menganggap statistik perlawanan sudah cukup untuk persediaan pasukannya dalam aksi Piala Sumbangsih menentang Perak di Larkin, malam esok.

Katanya, setiap perlawanan mempunyai tekanan dan persekitaran yang berbeza, jadi pasukan perlu sentiasa berada dalam keadaan terbaik dan tidak memandang rendah kebolehan lawan.

Beliau mengulas perkara itu selepas ditanya mengenai pendapat pemerhati bola sepak negara yang melabelkan JDT pasukan pilihan berbanding Perak dalam perlawanan tersebut.

"Tiada perlawanan yang mudah, kita kena hormati lawan dan kali ini kita berdepan Perak iaitu Juara Piala Malaysia musim lepas dan kita kena bersedia dalam apa jua keadaan.

"Statistik bukan penentu dalam aksi 90 minit esok. Kami perlu beraksi untuk merebut piala. Ia hari yang sangat bermakna kepada semua yang terlibat di dalam pasukan ini dan berharap kita dapat buktikan sesuatu," katanya pada sidang media, di sini, hari ini.

Bagaimanapun, Harris bersyukur yang perlawanan bermakna itu diadakan di laman sendiri kerana ia sedikit sebanyak memberikan kelebihan buat pasukan dan dirinya.

"Bermain di Larkin pasti memberikan kelebihan kepada kami kerana beraksi di hadapan peminat, bermain di padang yang kami sudah biasa. Ia sedikit sebanyak meningkat moral kami," katanya.

Sementara itu, Kapten Perak, Shahrul Mohd Saad berkata, perlawanan menentang JDT itu akan menjadi kayu pengukur terbaik buat pasukan untuk memulakan musim ini.

Artikel Berkaitan:

“Kita tahu JDT bukan pasukan yang mudah diatasi, jadi ia merupakan ujian terbaik untuk kami menilai apa yang perlu ditambah baik lagi.

“Ini perlawanan yang penting dan kita meletakkan harapan yang tinggi,” katanya.

Katanya, pasukan juga telah meneliti dan mengkaji corak permainan JDT sebagai persediaan awal.

“Sebagai pemain, saya dan pasukan harus tahu lawan macam mana, kami pun ada buat kajian sikit mengenai pasukan mereka

“Memang mereka ada pemain berkualiti tapi perak juga pasukan yang bermain dengan semangat yg tinggi,” katanya.