X

Kindly register in order to view this article
!

Belanjawan 2021 penuhi kehendak dan keperluan rakyat

Razali Idris
A
A

KUALA LUMPUR - Ahli Dewan Negara, Senator Datuk Razali Idris menyifatkan Belanjawan 2021 memenuhi kehendak dan keperluan rakyat mendepani ekonomi mencabar dan pandemik koronavirus (Covid-19).

Menurutnya, berdasarkan pembentangan belanjawan, ia dirangka berdasarkan tiga matlamat induk iaitu kesejahteraan rakyat, kelangsungan ekonomi dan ketahanan ekonomi.

"Saya mengalu-alukan kerajaan yang bercadang menaikkan siling Kumpulan Wang Covid-19 sebanyak RM20 bilion kepada RM65 billion untuk membiayai pakej bantuan tambahan Kita Prihatin.

"Sehubungan itu, saya menyifatkan peruntukan dan insentif diumumkan adalah prihatin kepada rakyat serta menepati jangkaan pasaran dalam mengurangkan beban rakyat dan terus menyokong pemulihan ekonomi.

"Sebagai contoh kepada golongan B40 dan M40 serta berita baik bagi mereka yang memerlukan, yang mana kerajaan membenarkan pengeluaran akaun satu Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) sebanyak maksimum RM6,000 atau RM500 sebulan," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Mengulas lanjut, Razali berkata, Skim Bantuan Sara Hidup (BSH) juga diperkasakan dengan skim lebih komprehensif iaitu Bantuan Prihatin Rakyat (BPR) yang memberikan bantuan lebih banyak dan mencakupi lebih ramai rakyat yang terkesan dengan pandemik Covid-19.

Menurutnya, walaupun moratorium tidak dilakukan secara automatik namun, kerajaan begitu prihatin dengan memberikan opsyen kepada golongan B40 dan ini adalah satu permulaan yang baik.

"Had pelepasan cukai ke atas perbelanjaan rawatan perubatan diri, pasangan dan anak bagi penyakit serius dinaikkan kepada RM8,000 daripada RM6,000, manakala bantuan RM1,200 diberi kepada isi rumah berpendapatan bulanan kurang RM2,500 dan mempunyai sehingga seorang anak.

"Saya juga mengalu-alukan cukai pendapatan individu diturunkan sebanyak satu mata peratusan bagi banjaran pendapatan bercukai RM50,001 hingga RM70,000 serta kadar caruman minimum KWSP pekerja dikurangkan daripada 11 peratus kepada sembilan peratus mulai Januari 2021," katanya.

Katanya lagi, menerusi perspektif lebih luas, peningkatan bantuan kepada petani, peladang, nelayan juga dialu-alukan, selain penumpuan khusus diberikan kepada golongan wanita dan juga belia.

Secara keseluruhan, katanya, belanjawan kali ini adalah yang prihatin rakyat dan menumpukan dasar yang begitu bersasar terutamanya kepada golongan B40 dan juga M40.

"Oleh itu, belanjawan yang menyeluruh akan memantapkan usaha kerajaan untuk menstabilkan ekonomi negara yang terkesan akibat impak negatif yang dicetuskan pandemik.

"Saya jangka jangka tinjauan ekonomi Malaysia akan kekal stabil untuk jangka panjang dan Malaysia akan terus menjadi perhatian pelabur asing," ujarnya.


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!