LRA Sungai Linggi belum boleh beroperasi

Penduduk di kawasan Rantau yang terjejas mengambil air di tangki statik yang ditempatkan di Dataran Rantau.
Penduduk di kawasan Rantau yang terjejas mengambil air di tangki statik yang ditempatkan di Dataran Rantau.
A
A
A

SEREMBAN - Kerja-kerja pembaikan pembahagi aliran sungai Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Linggi yang menyebabkan gangguan bekalan air di Port Dickson dan di Rantau, Seremban masih belum selesai selepas berlaku kegagalan kepada sebahagian struktur yang sedang dibaik pulih.

Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun menerusi hantaran di Facebooknya berkata, berikutan itu, isu aliran air Sungai Linggi yang sedang cuba dilencongkan masih belum dapat diselesaikan 100 peratus.

"Bagaimanapun saya difahamkan pihak Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Negeri Sembilan dan pihak kontraktor telah dan akan terus bertungkus-lumus sepanjang malam bagi melaksanakan kerja-kerja pembaikan.

"Terima kasih saya ucapkan kepada semua pihak yang terbabit atas komitmen ditunjukkan. Sama-samalah kita mendoakan agar pembaikan ini dapat diselesaikan dengan selamat dan juga dalam kadar segera serta bekalan air kembali pulih seperti biasa, insya-ALLAH," katanya.

Semalam Sinar Harian melaporkan, sebanyak 45,067 akaun pengguna Syarikat Air Negeri Sembilan Sdn Bhd (SAINS) melibatkan kawasan Port Dickson dan Seremban terjejas ekoran gangguan bekalan air berikutan gangguan terhadap operasi LRA Sungai Linggi.

Ketua Bahagian Perhubungan Awam SAINS, Norzita Ismail berkata, ia berikutan runtuhan tebing Sungai Linggi yang mengakibatkan gangguan kepada operasi LRA sungai tersebut.

“Runtuhan tebing sungai tersebut dipercayai disebabkan oleh kejadian hujan lebat yang melanda beberapa kawasan, " katanya.

Sementara itu, Sains dalam kenyataan hari ini memaklumkan, LRA Sungai Linggi belum boleh beroperasi seperti biasa berikutan kerja-kerja menambak tebing Sungai Linggi oleh pihak JPS masih belum siap sepenuhnya.

Artikel Berkaitan:

"Pihak Sains mengharapkan kerjasama daripada semua pengguna di sekitar kawasan terlibat gangguan semoga dapat bersabar dan memahami situasi ini.

"Sains akan terus memberikan bantuan bekalan air melalui lori tangki dan tangki statik di kawasan terjejas gangguan sehingga keadaan kembali seperti biasa," katanya.