161,300 jumlah penganggur di Selangor

Bilangan penganggur di Selangor meningkat kepada 161,300 ribu orang dengan kadar 4.6 peratus susulan daripada pelaksanaan PKP Mac lalu. - Foto: 123RF
Bilangan penganggur di Selangor meningkat kepada 161,300 ribu orang dengan kadar 4.6 peratus susulan daripada pelaksanaan PKP Mac lalu. - Foto: 123RF
A
A
A

SHAH ALAM - Bilangan penganggur di Selangor meningkat kepada 161,300 orang dengan kadar 4.6 peratus susulan daripada pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) Mac lalu.

Exco Generasi Muda, Sukan dan Pembangunan Modal Insan, Mohd Khairuddin Othman berkata, berdasarkan Survei Tenaga Buruh (STB) oleh Jabatan Perangkaan Malaysia, bilangan penganggur di Selangor bermula dari tahun 2008 hingga 2019 adalah antara 62,400 orang hingga 107,400 orang.

Bagaimanapun, beliau berkata, pelaksanaan PKP yang berlanjutan sehingga tempoh suku kedua tahun ini telah menyebabkan berlaku pengurangan individu bekerja dalam tempoh tersebut.

"Kadar pengangguran belia yang berumur 15 hingga 30 tahun di Selangor pada tahun 2019 juga adalah 6.1 peratus dengan jumlahnya seramai 75,900 orang.

"Kadar ini meningkat kepada 8.9 peratus pada suku kedua tahun 2020 dengan jumlah 101,800 orang penganggur akibat kesan Covid-19," katanya pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor, hari ini.

Mohd Khairuddin berkata demikian bagi menjawab pertanyaan Mohd Sany Hamzan (Taman Templer-Amanah) berhubung inisiatif yang disediakan kerajaan negeri bagi mengatasi masalah pengangguran dalam kalangan graduan susulan pandemik Covid-19.

Mengulas lanjut, Mohd Khairuddin berkata, peningkatan kadar pengangguran merupakan isu yang membimbangkan dan kerajaan Selangor turut mengambil inisiatif dengan menganjurkan Program Karnival Kerjaya-Selangor Mega Job Fair 2020 pada 3 dan 4 Oktober lalu di Shah Alam Convention Centre (SACC).

"Namun begitu, Selangor Mega Job Fair ini terpaksa ditunda berikutan peningkatan jumlah penularan Covid-19 pada ketika itu.

Artikel Berkaitan:

"Program ini akan dilaksanakan semula setelah jumlah kes bagi penularan wabak ini berkurangan," katanya.

Tambah Khairuddin, kerajaan Selangor juga akan menganjurkan Karnival Kerjaya Daerah menerusi Program Jelajah Selangor Bekerja: Selangor Mega Job Fair dalam skala kecil bagi membantu mengatasi isu pengangguran ini.

"Program ini akan dihadiri para pencari kerja yang menerima jemputan dan dihadkan seramai 250 orang sahaja dalam satu-satu masa (2 jam), selaras dengan garis panduan yang ditetapkan Majlis Keselamatan Negara (MKN) bagi penganjuran program ini," katanya.