X

Kindly register in order to view this article
!

Pencemaran sungai: Bukan kilang haram yang bermasalah

Hee Loy Sian
A
A

SHAH ALAM - Kebanyakan insiden pencemaran sungai di sekitar Selangor bukannya berpunca daripada operasi kilang-kilang haram.

Exco Alam Sekitar, Teknologi Hijau, Sains, Teknologi Hijau dan Hal Ehwal Pengguna Selangor, Hee Loy Sian berkata, terdapat ramai pihak mempunyai tanggapan salah berhubung perkara itu malah kebanyakan insiden berkenaan sebelum ini berlaku ekoran kelemahan operasi kilang-kilang berdaftar.

Menurutnya, usaha yang perlu dilaksanakan buat masa ini adalah mengawal operasi kilang-kilang sedia bagi memastikan mereka mematuhi prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan oleh Jabatan Alam Sekitar (JAS).

"Semua kilang-kilang berdaftar dan berlesen yang menyebabkan pencemaran di sungai-sungai sekitar negeri ini juga telah dikenakan tindakan undang-undang oleh pihak berkuasa.

"Kerajaan Selangor tidak akan bertolak ansur dengan mana-mana pihak yang menyebabkan punca pencemaran ini berlaku," katanya pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor, hari ini.

Loy Sian berkata demikian bagi menjawab pertanyaan Rizam Ismail (Sungai Ayer Tawar-UMNO) berhubung jumlah kilang haram yang telah mengikuti program pemutihan sebelum ini.

Dalam pada itu, Loy Sian berkata, sejak 2017 sehingga kini, terdapat lapan syarikat telah diambil tindakan undang-undang berikutan menyebabkan pencemaran sungai di negeri ini.

"Empat syarikat yang diambil tindakan kerana menyebabkan pencemaran di Sungai Semenyih manakala baki empat syarikat lagi melibatkan Sungai Selangor," katanya.

Dalam pada itu, Loy Sian berkata, Kerajaan Selangor melalui Lembaga Urus Air Selangor (LUAS) dan Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) telah membangunkan beberapa stesen telemetri kualiti air di bahagian hulu muka sauk.

Tambahnya, beberapa kaedah rawatan seperti menggunakan diatom juga sedang dikaji bagi melihat kesesuaianya bagi menurunkan bahan pencemaran dalam sumber air.

"Kerajaan Selangor sememangnya mengambil berat mengenai isu air ini bagi memastikan rakyat mendapat air bersih dan tidak tercemar," katanya.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!