362 mangsa banjir dipindahkan di lima pusat pemindahan

Gambar tular mengenai keadaan banjir semalam.
Gambar tular mengenai keadaan banjir semalam.
A
A
A

SABAK BERNAM - Seramai 362 mangsa daripada 87 keluarga yang terjejas berikutan banjir di dua daerah di negeri ini dipindahkan di lima pusat pemindahan sejak semalam.

Pegawai Operasi Unit Pengurusan Bencana Negeri (UPBN) Selangor, Muhammad Izzat Haziq Mohd Nazir berkata, sebanyak dua pusat pemindahan dibuka di daerah Hulu Langat dan tiga lagi di daerah Sepang sehingga jam 8.30 pagi tadi.

Menurutnya, pusat pemindahan pertama dibuka di Sekolah Kebangsaan (SK) Sungai Serai, Hulu Langat sejak jam 7 pagi semalam.

"Seramai 161 mangsa daripada 36 keluarga ditempatkan di pusat pemindahan itu berikutan banjir melanda di Kampung Sungai Serai," katanya kepada Sinar Harian di sini hari ini.

Dalam pada itu, Muhammad Izzat berkata, sebuah lagi pusat pemindahan banjir dibuka di daerah Hulu Langat iaitu di Kompleks Penghulu Batu 10 Cheras.

"Jumlah mangsa banjir yang dipindahkan di sini seramai 55 mangsa daripada 15 keluarga.

"Bagaimanapun, dua mangsa banjir dilaporkan sudah pun mendaftar keluar dari pusat pemindahan pada jam 8.20 pagi tadi," katanya.

Mengulas lanjut, beliau turut memaklumkan tiga pusat pemindahan banjir turut dibuka di daerah Sepang di Dewan Orang Ramai Taman Gemilang, Dewan Orang Ramai Pekan Dengkil dan Sekolah Rendah Agama (SRA) Dengkil.

Artikel Berkaitan:

"Dewan Orang Ramai Taman Gemilang menempatkan seramai 55 mangsa daripada 14 keluarga manakala Dewan Orang Ramai Pekan Dengkil melibatkan 67 keluarga daripada 16 keluarga.

"Seramai 24 mangsa daripada enam keluarga ditempatkan di SRA Dengkil," katanya.