Isu pelaksanaan semula PKP dibincangkan di Dewan Rakyat

Isu pelaksanaan semula Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) antara perkara bakal dibincangkan pada persidangan Dewan Rakyat, hari ini.
Isu pelaksanaan semula Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) antara perkara bakal dibincangkan pada persidangan Dewan Rakyat, hari ini.
A
A
A

KUALA LUMPUR- Isu pelaksanaan semula Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), kerosakan jalan raya dan kesan PKP terhadap harga runcit barangan di pasaran antara perkara bakal dibincangkan pada persidangan Dewan Rakyat, hari ini.

Menurut Aturan Urusan Mesyuarat dalam laman rasmi Parlimen, perkara berkenaan menjadi tumpuan Ahli Parlimen menerusi tiga soalan pada Sesi Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri dalam sidang Dewan yang memasuki hari keempat.

Datuk Seri Shahidan Kassim (BN-Arau) mengemukakan soalan kepada Perdana Menteri untuk menyatakan mengapa sehingga kini kerajaan masih lagi tidak melaksanakan PKP memandangkan peningkatan kes COVID-19 yang agak kritikal dan tidak terkawal, terutamanya di Sabah dan beberapa kawasan di Semenanjung yang berstatus zon merah.

Seterusnya, Cha Kee Chin (PH-Rasah) mahu Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna menyatakan kesan COVID-19 dan pelaksanaan PKP, Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) dan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) terhadap harga runcit barangan di pasaran.

Sementara itu, Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim (BN-Baling) bertanya kepada Menteri Kanan Kerja Raya mengenai langkah yang akan diambil kementerian dalam mengendalikan aduan rakyat berkenaan kerosakan jalan raya dan kualiti pembaikan jalan raya oleh kontraktor yang mungkin menyebabkan kerosakan harta benda serta kehilangan nyawa.

Dalam sesi soal jawab lisan pula, isu berkaitan pindaan Artikel 145 Perlembagaan Persekutuan dan kesan boikot terhadap produk sawit negara dijangka menjadi tumpuan perbincangan Ahli Parlimen dengan beberapa soalan akan diajukan.

Khalid Abd Samad (PH-Shah Alam) bertanya kepada Perdana Menteri sama ada kerajaan mempunyai rancangan memisahkan kuasa dan fungsi Pendakwa Raya daripada pejabat Peguam Negara bagi memastikan kuasa pendakwaan yang lebih telus.

Datuk Jalaluddin Alias (BN-Jelebu) pula bertanya Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi sejauh mana tindakan Amerika Syarikat memboikot produk sawit keluaran Felda Global Ventures (FGV) memberi kesan terhadap eksport produk sawit Malaysia bagi tahun ini.

Artikel Berkaitan:

Tumpuan juga dijangka terarah kepada pembentangan bacaan kali kedua Rang Undang-Undang Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (Pindaan) 2020, Rang Undang-undang Kilang dan Jentera (Pemansuhan) 2020, Rang Undang-undang Lembaga Angkasa Malaysia 2020 serta Rang Undang-Undang Suruhanjaya Bebas Tatakelakuan Polis 2020.

Sesi Mesyuarat Ketiga Penggal Ketiga Parlimen ke-14 akan berlangsung selama 27 hari dengan Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz dijadual membentangkan Belanjawan 2021 pada Jumaat ini.

Pada persidangan Parlimen kali ini, semua Ahli Parlimen dinasihat agar mengehadkan pergerakan ketika berada di dalam dan luar bangunan Parlimen sepanjang tempoh persidangan Dewan Rakyat bagi mengekang penularan wabak COVID-19, serta memastikan persidangan dapat dijalankan dengan selamat.