Empat muka baharu dipanggil

Wallace (tengah) dalam persiapan membentuk skuad bagi menghadapi Paial Remaja Asia tahun depan.
FOTO: FB MHC
Wallace (tengah) dalam persiapan membentuk skuad bagi menghadapi Paial Remaja Asia tahun depan. FOTO: FB MHC
A
A
A

EMPAT muka baharu mendapat perkhabaran gembira apabila diberi kepercayaan berada dalam senarai 27 pemain skuad projek khas lelaki kebangsaan kendalian Wallace Tan.

Menurut Wallace, penilaian dilakukan secara menyeluruh dengan mengambil kira beberapa aspek yang boleh memastikan skuad hoki muda negara kali ini berdaya saing.

“Berdasarkan senarai 27 pemain, rata-rata mereka adalah pemain yang telah bersama pasukan sebelum ini dan menjalani latihan bersama kami jadi penilaian terhadap mereka telah lama dilakukan.

“Antara yang kami barisan kejurulatihan nilai adalah sikap mereka, disiplin, kerjasama mereka dalam pasukan, usaha keras yang ditampilkan serta skil yang dimiliki.

“Setiap pemain telah dinilai selain kami melakukan pemerhatian mengenai persembahan mereka pada Piala Tun Abdul Razak. Mereka telah menampilkan aksi yang baik, jadi kami menyerap mereka dalam pasukan kebangsaan,” katanya pada sidang media semalam.

Empat muka baharu yang mendapat kepercayaan ialah Muhammad Amir Muhaimin Ahmad Mustaqiem (penjaga gol), Zulfitri Md Zin (pertahanan), Granson Noel Goden (penyerang) dan Muhammad Abid Sufian Mat Ruslee (penyerang).

Wallace turut melihat penangguhan Piala Remaja Asia 2021 memberikan kelebihan buat pasukannya dan beliau kini mempunyai tempoh lebih panjang melakukan persiapan.

“26 pemain berada dalam tahap kecergasan yang terbaik hanya Muhammad Amirul Hamizan Azahar yang mengalami kemalangan baru-baru ini masih dalam tempoh rawatan pemulihan dan akan mengambil sedikit masa untuk pulih.

Artikel Berkaitan:

“Piala Remaja Asia telah ditangguhkan dan tarikh baharu belum dimuktamatkan. Melihat dari sudut lain, penangguhan itu mungkin kelebihan untuk Amirul Hamizan kembali pulih sebelum kejohanan bermula.

“Buat masa ini tiada makluman terkini daripada Persekutuan Hoki Asia (AHF) mengenai peraturan had umur. Jika kejohanan berlangsung selepas suku pertama 2021, pemain berusia 21 tahun tidak dibenarkan beraksi,” jelasnya.