Saingan sengit Demokrat dan Republikan

Imej keldai yang mewakili simbol parti Demokrat dan gajah sebagai simbol parti Republikan saling berentap untuk memperoleh majoriti di Dewan Perwakilan serta Senat. - Foto: Agensi
Imej keldai yang mewakili simbol parti Demokrat dan gajah sebagai simbol parti Republikan saling berentap untuk memperoleh majoriti di Dewan Perwakilan serta Senat. - Foto: Agensi
A
A
A

WASHINGTON - Selepas enam tahun dikuasai Republikan, Demokrat berharap untuk menguasai semula Senat selepas ia berjaya merampas kerusi di Colorado semalam.

Kedua-dua parti terbabit dilaporkan memperoleh keputusan seri 47 kerusi.

Demokrat bagaimanapun perlu memenangi sekurang-kurangnya tiga kerusi untuk merampas semula kawalan Senat yang dimonopoli Republikan dengan 53 kerusi atau empat kerusi jika Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump dilantik semula.

Kira-kira 12 senator Republikan berisiko kehilangan kerusi di Senat dan prestasi Presiden Trump bakal jadi penentu kepada kedudukan anggota parti terbabit.

Keputusan menunjukkan kerusi di Alabama dan Colorado bertukar tangan apabila Senator Demokrat, Doug Jones tewas kepada bekas jurulatih pasukan American football Auburn, Tommy Tuberville di negeri yang dikuasai Trump.

Sementara itu, Gabenor John Hickenlooper menewaskan Senator Republikan, Cory Gardner di Colorado yang turut menyaksikan kemenangan calon Demokrat, Joe Biden di negeri terbabit.

Ketika ini, Republikan berusaha untuk mempertahankan majoriti 53-47 di Senat selepas tahun ini menyaksikan 35 daripada 100 kerusi Senat dipertandingkan.

Senator yang dipilih akan berkhidmat selama enam tahun dan satu pertiga kerusi akan diperebutkan semula setiap dua tahun.

Artikel Berkaitan:

Difahamkan, Demokrat atau Republikan perlu meraih 51 kerusi untuk memperoleh majoriti di Senat.

Di Dewan Perwakilan, Demokrat juga mendahului dengan meraih 188 kerusi berbanding 181 yang diperoleh Republikan dan parti terbabit sedang berusaha untuk mempertahankan majoriti 232.

Republikan yang memegang 197 kerusi di Dewan Perwakilan memerlukan 218 kerusi untuk memperoleh majoriti.

Anggota Kongres Demokrat Muslim kelahiran Somalia, Ilhan Omar turut memenangi penggal kedua selepas beliau berjaya menewaskan ahli perniagaan, Lacy Johnson dengan 64.6 peratus. - Agensi