Perkhidmatan kesihatan Malaysia terbaik

Abd Rahim
Abd Rahim
A
A
A

KUALA LUMPUR - Malaysia adalah di antara negara di dunia yang mampu memberi perkhidmatan kesihatan percuma kepada seluruh rakyat dan ia adalah sesuatu yang patut dibanggakan.

Timbalan Menteri Kewangan I, Datuk Abd Rahim Bakri berkata, peruntukan yang disediakan bagi maksud penyediaan perkhidmatan kesihatan ialah sekitar RM 30.6 billion setahun.

“Setakat ini kerajaan belum bercadang untuk melaksanakan program Insuran Kesihatan (National Health Insurance) merangkumi semua rakyat,” katanya di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau berkata demikian semasa menjawab soalan Datin Paduka Dr Tan Yee Kew (PH-Wangsa Maju) yang ingin tahu sekiranya kerajaan bercadang untuk menubuhkan Insurans Kesihatan atau Kad Kesihatan kepada seluruh rakyat bagi kes penyakit serius atau pembedahan.

Menurutnya, kerajaan telah memperkenalkan beberapa inisiatif baharu bagi menambah baik faedah kesihatan kepada rakyat iaitu seperti Skim MySalam yang memberi perlindungan takaful kepada penerima Bantuan Sara Hidup (BSH) berumur 18 hingga 65 tahun bagi 45 penyakit kritikal.

Beliau berkata, faedah perlindungan MySalam merangkumi pembayaran tunai RM8,000, (sekali seumur hidup) setelah disahkan menghidap salah satu 45 penyakit kritikal yang disahkan oleh doktor hospital kerajaan, tentera dan universiti.

Selain itu, perlindungan MySalam juga meliputi pembayaran hospitalisasi RM50 sehari bagi tempoh 14 hari dengan jumlah maksimum RM700 di hospital kerajaan, tentera dan universiti termasuk rawatan Covid-19.

Abd Rahim berkata kerajaan juga memperkenalkan Skim PEKA B40 (Skim peduli kesihatan untuk B40) di bawah Kementerian Kesihatan yang merangkumi bantuan kewangan secara automatik kepada kumpulan B40 (Penerima Bantuan Sara Hidup) berumur 40 tahun ke atas dan bantuan ini adalah dalam bentuk kos peralatan perubatan (maksimum RM20,000).

Artikel Berkaitan:

Selain itu Skim Peka B40 juga merangkumi tambang pengangkutan berjumlah maksimum RM1,000 bagi penerima Sabah dan Sarawak dan RM500 bagi Semenanjung Malaysia. - Bernama