SADA dijangka catat keuntungan RM24 juta setahun

Muhammad Sanusi Md Nor
Muhammad Sanusi Md Nor
A
A
A

ALOR SETAR - Syarikat Air Darul Aman (SADA) dijangka mula mencatatkan keuntungan tahun depan setelah kerajaan Perikatan Nasional (PN) Kedah melakukan beberapa penjimatan antaranya mengurangkan kos operasi.

Menteri Besar, Muhammad Sanusi Md Nor berkata, antara langkah yang dilakukan termasuk menamatkan kontrak konsesi air kepada Air Utara Indah Sdn Bhd (AUI) dan Taliworks Sdn Bhd (TLSB), di mana proses rawatan air kini diambil alih oleh SADA.

Menurutnya, SADA dijangka mencatat keuntungan RM2 juta sebulan setelah mengendalikan sendiri operasi rawatan air dengan anggaran pendapatan RM24 juta setahun.

“Saya percaya mulai tahun depan SADA mampu catat keuntungan apabila kita ambil alih operasi di lima Loji Rawatan Air (LRA) daripada AUI dan loji di Langkawi daripada TLSB. Sebelum ini keuntungan diperolehi pihak swasta padahal kita mampu buat sendiri,” katanya kepada Sinar Harian.

Perjanjian konsesi rawatan air kepada AUI di lima LRA tamat pada 31 Julai manakala kontrak konsesi pengendalian bekalan air di Pulau Langkawi kepada TLSB berakhir pada 31 Oktober lalu.

Muhammad Sanusi yang juga Pengerusi SADA berkata, pihaknya juga akan terus berunding dengan kerajaan Persekutuan berkaitan jumlah hutang bekalan air Kedah agar ia dapat dikurangkan lagi.

“Sebelum ini, hutang bekalan air kepada kerajaan Persekutuan berjumlah RM1.9 bilion, dijanjikan pemotongan kepada RM1.3 bilion selepas selesai proses migrasi kepada Perbadanan Aset Air Berhad (PAAB). Bayaran hutang tahunan yang perlu dijelaskan kepada PAAB ditetapkan RM45 juta setahun selama 45 tahun, perlu dibayar mulai 2023,” katanya.

Menurutnya, pihaknya masih berunding agar Pusat pertimbangkan semula jumlah hutang Kedah, kerana terdapat pinjaman yang tidak sepatutnya hutang, contohnya pembinaan Empangan Ahning sebanyak RM60 juta.

Artikel Berkaitan:

“Kita akan mohon ia dilupus kira dan cuba kurangkan jumlah hutang yang dipersetujui bersama selepas proses migrasi. Saya berharap hutang bekalan air dapat dimuktamadkan sekitar RM600 juta sahaja.

Pada masa sama dapat kurangkan jumlah perlu dibayar, RM45 juta setahun kepada bawah RM30 juta susulan anggaran keuntungan SADA sekitar RM24 juta setahun,” katanya.

Muhammad Sanusi berkata, sejak mengambil alih pentadbiran negeri Mei lalu, pihaknya sudah menjelaskan hutang SADA sebanyak RM79.33 juta daripada keseluruhan RM147 juta yang ditanggung sejak 2017.

“Hutang itu dibayar sehingga Oktober dan masih berbaki RM68 juta. Saya sasarkan untuk langsaikan hutang kritikal sehingga Disember ini. Keupayaan kewangan untuk membayar hutang disebabkan kita mengurangkan beberapa kos operasi sebagai langkah penjimatan.

Antaranya membatalkan kontrak kerja-kerja mesin rumput yang menelan kos RM99,000 sebulan atau hampir RM1.9 juta setahun. Tugas itu diserahkan kepada kakitangan SADA yang dilakukan selepas waktu kerja dengan bayaran mengikut jam,” katanya.

Menurutnya, ini menyebabkan kos bulanan menjadi RM36,129 dan berlaku penjimatan sebanyak RM62,000.

Muhammad Sanusi berkata, penjimatan ini adalah sebahagian langkah pengurusan baharu yang menghasilkan keupayaan untuk SADA mula mencatatkan keuntungan berdasarkan kepemimpinan dan pendekatan baharu.

"Langkah lain termasuk meningkatkan kutipan yang sebelum ini tidak diberikan perhatian, dengan sasaran anggaran RM25 juta sebulan kepada RM30 juta. Beberapa penjimatan yang kita lakukan dapat kurangkan kos dan tingkatkan hasil,” katanya.

Menurutnya, tiada suntikan modal disalurkan, hanya perubahan pengurusan dan faktor modal insan kini diberikan keutamaan dalam gerak kerja SADA.