IPD Kluang tahan 132 individu sepanjang Januari

Mohd Abduh (tengah) sewaktu Ops Selamat 14 Peringkat Daerah Kluang, pagi tadi.
Mohd Abduh (tengah) sewaktu Ops Selamat 14 Peringkat Daerah Kluang, pagi tadi.
A
A
A

KLUANG - Bagi menangani peningkatan kes jenayah indeks, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kluang telah menubuhkan satu task force terdiri daripada tiga pegawai dan 12 anggota untuk menangani kes-kes curi kenderaan, pecah rumah, samun dan judi haram.

Ketua Polis Daerah Kluang, Asisten Komisioner Mohd Abduh Ismail berkata, sepanjang bulan Januari ini juga, Bahagian Siasatan Jenayah (BSJ) IPD Kluang telah berjaya menangkap seramai 132 individu yang terlibat dalam pelbagai jenayah menerusi Ops Cantas, Ops Pintu, Ops Lejang dan Ops Dadu.

"Daripada jumlah tersebut, seramai 29 tangkapan telah berjaya dituduh di mahkamah hasil daripada ops yang dijalankan ini dan dan saya percaya dengan tertumpasnya beberapa kumpulan jenayah ini, kami telah berjaya menyelesaikan 49 kes dalam pelbagai elemen jenayah.

"Dalam tempoh yang sama juga, IPD Kluang telah berjaya menurunkan jenayah keseluruhan sebanyak 13 kes berbanding tahun lepas sebanyak 149 kes dan operasi-operasi ini akan diteruskan secara berkala bagi mengawal indeks jenayah di daerah ini," katanya.

Beliau berkata kepada pemberita selepas Majlis Pelancaran Ops Selamat 14 Peringkat Daerah Kluang di KM 52 Jalan Batu Pahat-Mersing berhampiran Taman Idaman, di sini, hari ini.

Turut hadir ialah Timbalan Ketua Polis Daerah Kluang, Deputi Superintendan Abdul Razak Abdullah Sani; Pengerusi Yayasan Pencegahan Jenayah (MCPF) Kluang, James Loh dan pegawai-pegawai kanan IPD Kluang.

Menurutnya, sepanjang bulan Januari ini juga, empat serbuan Ops Dadu melibatkan pelbagai jenis perjudian telah dijalankan dan dalam serbuan tersebut, seramai 21 lelaki dan seroang wanita tempatan berumur di antara 35 hingga 78 tahun telah ditahan.

Katanya, dalam serbuan tersebut juga, polis juga telah merampas wang tunai sebanyak RM21,828, lapan telefon bimbit pelbagai jenis; 252 batu mahjong, 66 cip warna pelbagai nilai, 52 keping daun terup, dua buku kecil, empat meja segi empat dan 14 kerusi plastik.

Artikel Berkaitan:

Pada masa sama, IPD Kluang telah mengenalpasti empat laluan maut di sekitar daerah ini sepanjang Ops Selamat 14 iaitu di KM 41 hingga KM 51 Jalan Batu Pahat-Mersing, KM 71 hingga KM 82 Jalan Johor Bahru-Ayer Hitam, KM 1 hingga KM12 Jalan Kluang-Teck Wah Heng dan KM 51hingga KM 75 Lebuh Raya Utara Selatan.

"Pada Ops Selamat 12, sebanyak 253 kes telah dilaporkan melibatkan dua kemalangan maut, tiga kematian, dua kemalangan parah dan 249 kemalangan rosak sahaja dan kita berharap untuk mengurangkan jumlah kes kemalangan pada Ops Selamat 14 ini.

"Kami juga tidak akan berkompromi terhadap pesalah trafik dan pendekatan memperketatkan penguatkuasaan secara optimum terhadap pesalah trafik berupaya mengurangkan risiko kemalangan dan jumlah kes kemalangan maut sepanjang musim perayaan ini," katanya.

Menurutnya, beliau juga telah mengarahkan pegawai dan anggota trafik mengambil tindakan penguatkuasaan menyeluruh kerana pendekatan berhemah yang digunakan pada masa lalu memberi ruang kepada pengguna jalan raya melanggar peraturan yang ditetapkan.

Katanya, selain aspek keselamatan jalan raya, Ops Selamat ini juga turut menekankan kepada keselamatan harta benda atau rumah yang ditinggalkan selama beberapa hari bagi tujuan berhari raya ke kampung halaman atau destinasi masing-masing.