Hari pertama sidang Dewan Rakyat hangat

Ahli-ahli Parlimen ketika menghadiri Mesyuarat Ketiga Penggal Ketiga Parlimen ke-14 di Bangunan Parlimen hari ini. -Foto Bernama
Ahli-ahli Parlimen ketika menghadiri Mesyuarat Ketiga Penggal Ketiga Parlimen ke-14 di Bangunan Parlimen hari ini. -Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Sidang Dewan Rakyat hari ini hangat apabila berlaku perdebatan antara Speaker Dewan Rakyat, Datuk Azhar Azizan Harun dengan ahli Parlimen pembangkang.

Perkara tersebut berlaku susulan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Parlimen), Datuk Takiyuddin Hassan mengemukakan usul memendekkan persidangan bagi hari pertama selepas sesi pertemuan dengan semua ketua whip dan wakil daripada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

Azhar yang mempengerusikan Sidang Dewan Rakyat menggantikan Timbalan Speaker Dewan Rakyat, Datuk Mohd Rashid Hasnon yang memulakan sesi pada sebelah pagi.

Ketika mengemukakan penjelasan berkaitan penangguhan tersebut, M Karupaiya (PH - Padang Serai) bangun dan menyatakan jika persidangan tersebut dipendekkan lebih baik kerajaan ditukar.

"Kalau susah kita tukar kerajaanlah. Senang," katanya.

Membalas kenyataan tersebut, Azhar mempersoalkan kerasionalan antara usul penangguhan dengan penukaran kerajaan seperti yang diperkatakan oleh ahli Parlimen Padang Serai itu.

"Apa pasal cakap macam itu? Apa kena-mengena. Kita ada usul 12(1) yang sepatutnya saya kemukakan masalah tanpa perbahasan," jelasnya.

Pertikaman lidah tersebut tidak berakhir di situ sebaliknya, Mohamed Hanipa Maidin (PH - Sepang) bangkit mempersolkan mengapa Speaker Dewan Rakyat itu menjawab soalan yang diajukan kepada Takiyuddin.

Artikel Berkaitan:

"Speaker jangan jawab soalan bagi pihak menteri boleh tak?" soalnya.

Azhar lantas menjawab siapakah yang menjawab bagi pihak menteri.

"Siapa jawab?" soal Azhar kepada Mohamed Hanipa.

Meskipun terdapat celahan daripada ahli Parlimen supaya Mohamed Hanipa berhenti membuat dakwaan tetapi beliau terus bersuara.

"Tadi Yang Berhormat ditanya itu (Takiyuddin), Yang Berhormat jawab," katanya.

Jelas Azhar, beliau hanya memberikan penerangan kerana beliau mempengerusikan mesyuarat ketika itu.

Penjelasan tersebut disusuli dengan jawapan balas Mohamed Hanipa.

"Come on la Speaker, we are tired lah," katanya.