Pertikai kuasa Agong, UMANY digesa mohon maaf

Persatuan Pemuda Baharu Universiti Malaya (UMANY) digesa membuat permohonan maaf kepada Yang di-Pertuan Agong berhubung kenyataan yang dianggap biadab melalui laman Facebook mereka. Gambar kecil: Asrullah
Persatuan Pemuda Baharu Universiti Malaya (UMANY) digesa membuat permohonan maaf kepada Yang di-Pertuan Agong berhubung kenyataan yang dianggap biadab melalui laman Facebook mereka. Gambar kecil: Asrullah
A
A
A

KUANTAN - Majlis Belia Felda Malaysia (MBFM) Wilayah Kuantan menggesa Persatuan Pemuda Baharu Universiti Malaya (UMANY) membuat permohonan maaf kepada Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berhubung kenyataan yang dianggap biadab melalui laman Facebook mereka yang mempertikaikan kuasa Seri Paduka Baginda dalam urusan politik negara.

Ketua Penerangan MBFM Wilayah Kuantan, Asrullah Affendi Abdullah berkata, perbuatan itu tidak seharusnya berlaku kerana UMANY adalah sebuah badan anak muda universiti yang telah mendapat didikan baik di bawah sistem pendidikan negara.

Menurutnya, sepatutnya UMANY lebih bijak dan memahami perkara yang mereka perlu suarakan mengikut pandangan anak muda di peringkat universiti.

"Jika UMANY merasakan Yang di-Pertuan Agong (Al-Sultan Abdullah) tidak perlu campur tangan secara terus berkaitan pentadbiran negara, mereka boleh mengemukakan surat permohonan untuk bertemu Seri Paduka Baginda dan menyatakan hasrat serta pandangan mereka.

"Tidak perlulah menggunakan media sosial sebagai medan untuk tidak menghormati individu yang paling dihormati, disanjungi dengan kata-kata tidak sepatutnya," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

ARTIKEL BERKAITAN: UM siasat hantaran FB UMANY pertikai kuasa Agong

Kelmarin, UMANY telah memuat naik satu hantaran di laman sosial Facebooknya bertajuk “Yang di-Pertuan Agong tidak sepatutnya campur tangan dalam hal ehwal negara”

Mengulas lanjut, Asrullah turut meminta pihak pentadbiran Universiti Malaya (UM) melakukan siasatan segera dan mengambil tindakan tegas terhadap setiap individu yang terlibat kerana didakwa telah menghina Yang di-Pertuan Agong.

Artikel Berkaitan:

Katanya, isu tersebut bukan sahaja berkait rapat dengan masa depan universiti itu bahkan turut akan menjejaskan imej UM sebagai sebuah universiti paling berpengaruh dan dihormati di negara ini.

Dalam pada itu, Asrullah turut menasihatkan anak muda Felda yang menganggotai UMANY agar lebih bersikap rasional dan memahami tujuan mereka berada di universiti.

"Golongan muda ini perlu bijak memilih perkara yang sepatutnya mereka perjuangkan agar dapat berbakti kembali kepada tanah rancangan Felda mereka kelak.

"Tidak salah untuk kita bersuara tetapi biarlah ia berpadanan dengan perkara yang hendak disuarakan," katanya.

Sementara itu, Asrullah berkata, pihaknya tetap setia menjunjung kasih titah Seri Paduka Baginda dan sentiasa mempertahankan sistem Raja Berperlembagaan di negara ini agar terpelihara dengan semangat serta setia di bawah naungan Yang di-Pertuan Agong.