Pertimbang kenaikan harga lantai getah sekerap RM4 sekilogram

Kerajaan perlu menaikkan lagi harga lantai getah sekerap bagi membantu penoreh. - Foto FB Dr Khairuddin at-Takiri
Kerajaan perlu menaikkan lagi harga lantai getah sekerap bagi membantu penoreh. - Foto FB Dr Khairuddin at-Takiri
A
A
A

ALOR SETAR - Kerajaan perlu mempertimbangkan untuk menaikkan harga lantai getah sekerap daripada RM2.50 kepada RM4 sekilogram bagi meningkatkan pendapatan penoreh.

Pengerusi Persatuan Penoreh Getah dan Pekebun-pekebun Kecil Daerah Padang Terap, Ahmad Zulkifli Ismail berkata, Malaysia sebagai sebuah negara pengeluar getah seharusnya mampu menghasilkan pelbagai barangan berasaskan getah yang secara tidak langsung mampu memberikan pulangan kepada pemain industri tersebut.

Menurutnya, kehidupan penoreh bergantung sepenuhnya kepada harga semasa getah dan kejatuhan sehingga RM1.60 sekilogram sebelum ini jelas memberikan kesan kepada kehidupan harian mereka.

"Sepatutnya harga lantai getah sekerap dinaikkan kepada RM4 sekilogram jika mahu bantu penoreh.

"Jika kerajaan menaikkan harga lantai getah, kami percaya cadangan ini mampu meningkatkan taraf hidup penoreh yang banyak terbeban dengan kos semasa," katanya ketika dihubungi Sinar Harian.

Ahmad Zulkifli berkata, penoreh juga antara kelompok yang terkesan disebabkan oleh harga semasa yang tidak menentu dan kehidupan mereka juga ibarat kais pagi makan pagi, kais petang makan petang.

Ahmad Zulkifli
Ahmad Zulkifli

Katanya, kerajaan perlu berusaha untuk menstabilkan harga semasa getah dengan mengikut langkah Thailand yang memfokuskan penghasilan getah bagi penggunaan domestik getah asli seperti plastik, sarung tangan, tayar dan tiub untuk motosikal dan gelang getah.

Artikel Berkaitan:

"Kerajaan kena buat pelaburan yang betul-betul berfaedah bagi industri getah di negara ini untuk jangka panjang kerana Malaysia adalah antara pengeluar getah terbesar selain Thailand dan Indonesia," katanya.

Jumaat lalu, Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman Razali menerusi Facebooknya berkata, harga getah sekerap mencecah RM2.88 sekilogram manakala harga getah Latex pula mencecah RM7.65 sekilogram.

Menurutnya, Insentif Pengeluaran Getah (IPG) akan diaktifkan pada kadar RM2.50 sekilogram sebagai harga lantai minimum yang ditetapkan kerajaan untuk membantu penoreh.