Op Mabuk: 33 saman pelbagai kesalahan dikeluarkan

Pegawai Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik menggunakan EBA untuk menguji kandungan alkohol pemandu kereta ketika ditahan dalam Op Mabuk semalam. - Foto PDRM
Pegawai Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik menggunakan EBA untuk menguji kandungan alkohol pemandu kereta ketika ditahan dalam Op Mabuk semalam. - Foto PDRM
A
A
A

IPOH - Sebanyak 33 saman dikeluarkan kepada pengguna jalan raya membabitkan pelbagai kesalahan menerusi Op Mabuk di Jalan Leong Boon Swee di sini semalam.

Timbalan Ketua Polis Daerah Ipoh, Superintendan Lee Swee Sake berkata, enam individu dilakukan ujian kandungan alkohol tetapi dibebaskan kerana tidak melebihi kandungan yang dibenarkan.

Menurutnya, operasi selama dua jam bermula jam 11 malam itu bertujuan mencegah jenayah curi kenderaan dan narkotik selain mengesan pengguna jalan raya yang memandu di bawah pengaruh alkohol.

"Polis Ipoh akan melaksanakan operasi ini secara berterusan dan kita tidak mahu isu pemandu mabuk menjadi satu masalah sosial kepada masyarakat sehingga melibatkan mangsa cedera atau maut.

"Tiada lagi nasihat mahupun amaran diberikan lagi. Pesalah akan terus dikenakan tindakan tegas mengikut undang-undang," katanya.

Bagaimanapun katanya, secara keseluruhan pengguna jalan raya mematuhi peraturan dan memberi kerjasama kepada pihak berkuasa.

Operasi melibatkan dua pegawai dan 21 anggota dari Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik, Bahagian Siasatan Jenayah, Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik serta Bahagian Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti, Ibu Pejabat Polis Daerah Ipoh.

Artikel Berkaitan: