Warga Dengkil persoal pelaksanaan caj parkir

Pemakluman berhubung pelaksanaan tempat letak kereta berbayar di pekan Dengkil.
Pemakluman berhubung pelaksanaan tempat letak kereta berbayar di pekan Dengkil.
A
A
A

DENGKIL - Pelaksanaan parkir berbayar ketika rakyat masih dibebani pandemik koronavirus (Covid-19) mengecewakan penduduk Dengkil.

Mereka mendakwa terkejut melihat kain rentang yang dipasang beberapa hari lalu memaklumkan operasi tempat letak kereta berbayar di Pekan Dengkil bermula 1 Januari ini.

Ramai penduduk menyifatkan pelaksanaan tersebut dilakukan secara mengejut tanpa sebarang perbincangan

Penduduk, Azhar Abdullah, 40 berkata, langkah Majlis Perbandaran Sepang (MPSepang) di bawah kerajaan negeri tidak selari dengan hasrat kerajaan Pusat yang berusaha mengurangkan beban rakyat.

"Sepatutnya ketika rakyat berada dalam tempoh sukar dengan tiada gaji dan nak makan pun susah, kerajaan negeri sepatutnya membantu, bukannya terus menekan rakyat.

"Sebelum ini tidak pernah ada caj parkir, tiba-tiba ketika Covid-19 pula mahu dikutip hasil, sedangkan ini kawasan pinggir bandar, tidak sibuk seperti di bandar. Kenapa mahu dikenakan bayaran?" katanya.

Pandangan sama turut disuarakan seorang lagi warga Dengkil, Siti Ainiza Kamsari, 50, yang hairan apabila kawasan tersebut dikenakan caj parkir.

"Saya tak setuju sebab sebelum ini tiada sebarang kutipan dikenakan tetapi sekarang tiba-tiba kena bayar.

Artikel Berkaitan:

"Jika mahu dilaksanakan juga, saya harap selepas kes Covid-19 selesai. Buat masa ini setiap sen yang keluar dari poket rakyat begitu bernilai. Kerajaan perlu bantu bukan membebankan rakyat," katanya.

Sementara itu, pekerja swasta, Shafie Dahlan, 31 berkata, MPSepang perlu memikirkan cara meningkatkan kemudahan tempat letak kereta di kawasan Dengkil daripada mengutip caj parkir.

"Saya faham MPSepang mahu mengawal kesesakan kenderaan di tempat tertentu tetapi pada saya sangat tidak adil untuk mengenakan caj parkir di tempat awam.

"Mereka seharusnya menyediakan tempat letak kereta yang cukup dan selamat untuk kesejahteraan semua.

"Jika hanya mengutip caj parkir tanpa penambahbaikan, itu akan membuatkan masyarakat mempersoalkan kewajaran bayaran yang dikenakan," katanya.

Sementara itu, MPSepang ketika dihubungi bagi mendapatkan penjelasan berhubung perkara itu memaklumkan yang pihaknya sedang menyemak perkara itu dan akan memberikan maklum balas dalam masa terdekat.