Bekas kontraktor tak mengaku tipu warga emas konon menang kereta

No Image Caption
A
A
A

KLANG - Seorang bekas kontraktor dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini hari ini, atas pertuduhan menipu seorang warga emas kononnya mangsa akan dihadiahkan sebuah kereta jenis Toyota Vios melibatkan kerugian RM8,000.

Soh Kee Hui, 41, didakwa memperdayakan R S Matthias Sebastian, 79, kononnya dia akan menghadiahkan kereta itu sehingga mendorong mangsa menyerahkan sekeping kad kredit Hong Leong Bank miliknya kepada tertuduh.

Tertuduh kemudian didakwa membuat pengeluaran sebanyak RM8,000 menggunakan kad kredit itu di Hong Leong Bank cawangan Jalan Kapar di sini pada 10 Ogos lepas.

Kee Hui bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan jurubahasa mahkamah terhadapnya di hadapan Majistret Roslizi Sulaiman.

Pertuduhan terhadapnya dibuat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan, yang memperuntukkan hukuman penjara minimum setahun dan maksimum 10 tahun dan dengan sebatan dan boleh juga didenda, jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya Nurul Qistina Qamarul Abrar mencadangkan agar tertuduh dibebaskan dengan jaminan RM10,000 berserta seorang penjamin.

Peguam R Sivaraj yang mewakili tertuduh memohon mahkamah mengurangkan jumlah jaminan kepada RM3,000 atas alasan anak guamnya yang kini menjalankan perniagaan dalam talian perlu menyara isteri, seorang pak cik berumur 77 tahun dan adik bongsunya berumur 22 tahun.

"Tiada kebarangkalian tertuduh akan elak hadir ke mahkamah atau larikan diri dan sepanjang siasatan dia telah beri kerjasama penuh kepada pihak polis," katanya.

Artikel Berkaitan:

Roslizi membenarkan Kee Hui dibebaskan dengan jaminan RM5,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 8 Disember ini untuk sebutan kes bagi serahan dokumen.

Media sebelum ini melaporkan, polis Selangor menyelesaikan 46 kes tipu menang peraduan yang berlaku di pasar raya di sekitar Selangor dengan penahanan seorang lelaki berumur 41 tahun pada 17 Oktober lepas yang didakwa menjalankan kegiatan penipuan membabitkan kerugian RM456,542.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Selangor, Asisten Komisioner Muhamad Yazid Muhammad Yew dilaporkan berkata, suspek yang mempunyai dua kes jenayah lampau melibatkan kesalahan menceroboh selain pernah dipenjarakan selama tujuh tahun di bawah Seksyen 304 Kanun Keseksaan, menyasarkan mangsa warga emas berusia 65 hingga 81 tahun. - Bernama