X

Kindly register in order to view this article
!

Presiden Perancis anggap negaranya diserang pengganas Islam

Beberapa anggota polis mengawal laluan ke sebuah gereja yang menjadi lokasi seorang warga Tunisia membunuh tiga orang di Nice semalam. - Foto AFP
A
A

NICE - Presiden Perancis, Emmanuel Macron menganggap tindakan seorang lelaki yang bersenjata pisau membunuh tiga orang termasuk seorang wanita berusia 60 tahun yang kepalanya hampir dipenggal di sebuah gereja di selatan Perancis semalam sebagai satu 'serangan pengganas Islam'.

Seorang pendakwa raya antikeganasan Perancis, Jean-Francois Picard berkata, seorang imigran Tunisia berusia 21 tahun yang membawa satu kitab suci al-Quran dan tiga bilah pisau itu menjerit "Allahuakbar" apabila dia ditembak sekali gus mencederakannya,

"Penyerang itu menggunakan sebilah pisau berukuran 30 sentimeter untuk menggelar leher kepala seorang wanita itu dengan luka yang dalam menyebabkan beliau secara praktikalnya telah memenggal kepalanya," katanya pada satu sidang akhbar.

Wanita itu meninggal dunia di dalam gereja Notre-Dame itu.

Sementara itu, seorang pekerja lelaki gereja tersebut yang berusia 55 tahun ditemui berdekatan dengan bangunan berkenaan dengan lehernya turut dikelar.

Seorang lagi wanita yang berusia 44 tahun yang melarikan diri dari gereja itu dan menuju ke sebuah restoran berhampiran mati selepas mengalami kecederaan akibat diserang dengan pisau.

Serangan itu kata Picard, merupakan satu peringatan bahawa 'idelogi keganasan Islam masih lagi hidup'.

Menurutnya, penyerang terbabit ialah seorang warga Tunisia yang dilahirkan pada tahun 1999.

Dalam sebuah beg di tempat kejadian, para penyiasat turut menemui dua bilah pisau yang tidak digunakan dan Picard berkata, polis menembak lelaki berkenaan 'tanpa sebarang keraguan bagi menghalang angka kematian lebih tinggi'.

Datuk Bandar Nice, Christian Estrosi memberitahu para pemberita di tempat kejadian, penyerang tersebut masih melaungkan "Allahuakbar" ketika dibawa ke sebuah hospital.

Kejadian itu menyebabkan kerajaan Perancis meningkatkan tahap berjaga-jaga kepada tahap 'darurat' di seluruh negara.

Macron yang pergi ke Nice ekoran kejadian tersebut mengumumkan bahawa gereja-gereja akan diawasi oleh kira-kira 7,000 anggota pasukan rondaan tentera berbanding 3,000 orang sebelum ini.

Katanya, kawalan di sekolah juga akan dipertingkatkan.

"Adalah jelas, Perancis kini sedang diserang," kata Presiden itu sambil berikrar negara tersebut 'tidak akan menyerahkan kalah ekoran nilai-nilainya'.

Perancis sebelum ini mencetuskan kemarahan dalam dunia Islam selepas Macron berikrar akan memerangi kumpulan radikal selepas kejadian kepala seorang guru sejarah, Samuel Paty dipenggal oleh seorang remaja Islam Chechen berumur 18 tahun, Abdullakh Anzorov

pada 16 Oktober lalu.

Kepala Paty dipenggal selepas beliau menunjukkan kartun-kartun yang menggambarkan Nabi Muhammad SAW kepada para pelajarnya dalam kelas kebebasan bersuara di sebuah sekolah di pinggir Paris.

Anzorov kemudian mati ditembak polis.

Beberapa buah negara telah melancarkan kempen memboikot produk-produk keluaran Perancis manakala sebahagian penunjuk perasaan membakar bendera negara tersebut dan gambar Macron.

Tunjuk-tunjuk perasaan bagi membantah Macron juga diadakan di Syria, Libya, Bangladesh, Afghanistan, Pakistan dan wilayah Palestin. - AFP


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!