Belanjawan 2021: Muhyiddin perlu runding dengan pembangkang

No Image Caption
A
A
A

PETALING JAYA - [DIKEMASKINI] Mesyuarat Pakatan Harapan (PH) hari ini memutuskan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin perlu mengadakan perbincangan dan rundingan segera dengan pihak pembangkang berkenaan isi kandungan Belanjawan 2021 sebelum ia dibentangkan di Parlimen pada 6 November ini.

Dalam satu kenyataan bersama, Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim; Presiden Parti Amanah Negara (Amanah), Mohamad Sabu dan Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng berkata, perkara itu perlu dilakukan Muhyiddin sebagai menjunjung titah Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

Menurut mereka, keputusan itu dibuat sebagai mengambil maklum nasihat Seri Paduka Baginda yang menitahkan supaya semua ahli Parlimen memberi sokongan kepada Belanjawan 2021 demi kelangsungan kesejahteraan rakyat dan pemulihan ekonomi negara yang cukup terkesan akibat pandemik Covid-19.

"Atas sebab-sebab ini, Majlis PH amat bersetuju dengan Seri Paduka Baginda bahawa amatlah penting dan serius untuk Belanjawan 2021 ini dirundingkan dengan Pembangkang sebelum dibentang di Parlimen.

"Maka Perdana Menteri harus menjunjung titah Seri Paduka Baginda dengan mengadakan perbincangan dan rundingan segera dengan pihak Pembangkang berkenaan isi kandungan Belanjawan 2021 sebelum ia dibentangkan di Parlimen pada November ini supaya ia dapat mencapai objektif yang diingini Tuanku.

"Majlis Presiden yakin bahawa semua ahli Parlimen akan terlibat dalam sesi perbahasan yang sihat untuk memastikan Belanjawan 2021 mengutamakan kepentingan negara dan rakyat serta menepati aspirasi seperti yang telah dititahkan Tuanku," katanya di sini hari ini.

Anwar keluar meninggalkan Ibu Pejabat PKR sebaik selesai mempengerusikan mesyuarat Majlis Pakatan Harapan (PH) di Petaling Jaya hari ini.
Anwar keluar meninggalkan Ibu Pejabat PKR sebaik selesai mempengerusikan mesyuarat Majlis Pakatan Harapan (PH) di Petaling Jaya hari ini.

Mengulas lanjut, kenyataan itu turut menegaskan Belanjawan 2021 perlu menetapkan hala tuju yang mampu memastikan Malaysia akan terus maju sewaktu dan selepas pandemik.

Artikel Berkaitan:

Katanya, ia termasuk dengan mengenal pasti strategi-strategi pembangunan baharu untuk ekonomi serta membantu jutaan rakyat Malaysia yang terkesan sama ada akibat kehilangan pekerjaan mahupun pendapatan pada tahun ini.

"Berjuta-juta rakyat Malaysia yang berada pada atau di bawah paras kemiskinan amat mengharapkan bantuan melalui belanjawan ini," katanya.

Selain itu, mesyuarat tersebut turut memutuskan bahawa golongan yang tidak harus ketinggalan juga adalah yang mengharapkan moratorium pinjaman dilanjutkan.

Terdahulu, PH mengadakan mesyuarat lebih dua jam di Ibu Pejabat PKR di Petaling Jaya hari ini bagi membincangkan isu sokongan Belanjawan 2021 yang akan dibentangkan Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz di Dewan Rakyat pada Jumaat depan.

Semalam, Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menitahkan ahli Parlimen agar mengutamakan kebajikan rakyat dan kesejahteraan negara supaya Belanjawan 2021 diluluskan tanpa sebarang gangguan.

Al-Sultan Abdullah menegaskan bahawa Belanjawan 2021 yang akan dibentangkan di Parlimen pada masa yang terdekat amat penting kepada kerajaan dan pihak-pihak berkuasa khususnya petugas barisan hadapan.

Justeru itu, mesyuarat Majlis PH hari ini diadakan bagi menentukan pendirian PH terhadap Belanjawan 2021 mengambil kira nasihat Seri Paduka Baginda itu.