PN kutuk kenyataan Macron, sifatkan ia penuh kebencian

Mohamed Azmin
Mohamed Azmin
A
A
A

SHAH ALAM - Perikatan Nasional (PN) mengutuk sekerasnya-kerasnya kenyataan Presiden Perancis, Emmanuel Macron yang secara jelas menyerang Islam, Nabi Muhammad SAW dan umat Islam.

Ketua Penerangan PN, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berkata, kenyataan berbaur kebencian itu tidak boleh diterima sama sekali dan wajar dikecam oleh mereka yang berfikiran waras tanpa mengira bangsa atau agama.

“Tindakan Macron yang memfitnah Nabi Muhammad SAW dan menggambarkan umat Islam sebagai pengganas adalah sebuah kenyataan yang penuh kebencian.

“Berpotensi untuk memprovokasi umat Islam seluruh dunia dan menyemai kebencian serta permusuhan terhadap umat Islam,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Berhubung pandangan Macron mengenai cara umat Islam mengamalkan agama mereka dan memperlekehkan Islam ‘perlukan pembaharuan’, Mohamed Azmin berkata, ia menunjukkan Presiden Perancis itu bersikap Islamofobia serta ketidakupayaan intelektual untuk memahami isu sebenar yang memberi kesan kepada seluruh dunia.

Menurutnya, sesuatu yang dikesalkan apabila kenyataan sedemikian keluar daripada mulut seorang ketua bagi kumpulan negara G7 yang sepatutnya menunjukkan kefahaman dan kepimpinan yang inklusif terhadap semua agama.

Terdahulu, Macron dilaporkan berikrar bahawa Perancis tidak akan menyerah kalah dalam isu karikatur menghina Nabi Muhammad SAW selepas seorang guru dipenggal kepala oleh muridnya akibat karikatur tersebut.

Dalam laporan sama, Macron turut menyatakan pembunuhan guru tersebut yang dilakukan seorang remaja berketurunan Chechen itu terjadi 'kerana Islam mahukan masa depan mereka'.

Artikel Berkaitan: