Polis siasat pencemaran air Kampung Baru Balakong

No Image Caption
A
A
A

KAJANG - Polis menjalankan siasatan berhubung kes pencemaran air di alur sungai di Jalan KB 1/10, Kampung Baru Balakong di sini selepas menerima laporan daripada Jabatan Alam Sekitar (JAS) Selangor semalam.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor, Datuk Fadzil Ahmat berkata, pihaknya menerima laporan daripada seorang pegawai JAS Selangor berhubung perkara itu.

"Pegawai berkenaan membuat pemeriksaan di kawasan itu dan mendapati terdapat minyak hitam terapung dikesan di atas permukaan alur air dari kawasan perumahan ke sungai yang disyaki terdapat unsur sabotaj," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Fadzil berkata, pihaknya bersama tiga agensi lain iaitu Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN), Lembaga Urus Air Selangor (LUAS) dan Indah Water Konsortium (IWK) turut membantu siasatan.

"Beberapa sampel minyak bercampur air turut diambil untuk diuji kandungannya bagi tujuan siasatan dan pendakwaan nanti.

"Kes itu disiasat mengikut Seksyen 430 Kanun Keseksaan," katanya.

Katanya, pihaknya mengadakan mesyuarat bersama agensi penguatkuasaan berkenaan air di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor pada 20 Oktober lalu.

"Kita bersepakat untuk menjalankan siasatan dan tindakan dengan cara bersepadu bagi memastikan penguatkuasaan, siasatan dan pendakwaan dapat dibuat secara total demi kepentingan dan kesejahteraan masyarakat Selangor khasnya,” katanya.

Artikel Berkaitan: