X

Kindly register in order to view this article
!

Pencemaran sungai dibimbangi angkara sabotaj: Amirudin

Datuk Seri Amirudin Shari - Foto Bernama
A
A

SHAH ALAM - Beberapa kejadian yang hampir menyebabkan pencemaran sungai berlaku di Selangor sejak akhir-akhir ini dibimbangi adalah tindakan yang disengajakan.

Menteri Besar Selangor Datuk Seri Amirudin Shari berkata, sekurang-kurangnya terdapat empat potensi kejadian yang hampir menyebabkan pencemaran dikesan oleh kerajaan Selangor.

"Dalam tempoh lima hingga enam hari ini, kita telah mengesan empat potensi pencemaran yang berjaya dihalang sebelum ia mengalir ke sungai utama. Kejadian terbaharu berlaku di Kampung Baru Balakong semalam berhubung tumpahan minyak hitam dan pegawai SPAN, Air Selangor, Jabatan Alam Sekitar serta LUAS telah meninjau keseluruhan sungai dan mendapati tiada kesan daripada kilang atau bengkel-bengkel sekitar.

"Tiga hari lepas kita dapat kesan di Sungai Kundang, melibatkan pencemaran yang hampir sama berwarna hitam yang dipercayai minyak. Saya bimbang tindakan ini disengajakan namun tiada bukti dan tidak berani untuk membuat andaian. Alhamdulillah, dalam tempoh tiga empat hari ini kita berjaya menghalang cubaan untuk mencemarkan sungai," katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Ringkas Penyerahan Sumbangan Kelengkapan PPE kepada Jabatan Penjara Malaysia Negeri Selangor serta Jet Ski dan Basikal Elektrik kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) oleh kerajaan Selangor di Foyer Bangunan SUK hari ini.

Mengulas lanjut, Amirudin berkata, melalui beberapa tindakan yang dilakukan oleh kerajaan negeri termasuk menggunakan drone dalam aspek pemantauan dilihat mampu menangani masalah pencemaran sungai.

"Jadi dengan adanya pemantauan dengan menggunakan drone kita boleh meninjau kawasan dengan lebih jauh dalam usaha untuk mengelakkan pencemaran berlaku.

"Justeru saya seru kepada mereka yang tidak bertanggungjawab atau cuai menghentikan perbuatan yang boleh mencemarkan sungai kerana ia akan menyebabkan ratusan ribu akaun pengguna dan jutaan penduduk menderita disebabkan bekalan air yang tidak sempurna," katanya.

Terdahulu, Lembaga Urus Air Selangor (Luas) sedang menjalankan siasatan berhubung aduan pencemaran bau akibat tumpahan minyak di alur air Jalan KB1/9 Kampung Baru Balakong, Kajang.

Menerusi Facebook Luas semalam memaklumkan, siasatan awal mendapati bahan pencemaran seperti sisa minyak enjin terpakai dibuang ke dalam alur air berkenaan.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!