Lelaki ‘serang’ Guan Eng positif ganja, direman tiga hari

Mazlan Lazim
Mazlan Lazim
A
A
A

KUALA LUMPUR - Lelaki berusia 23 tahun yang ditahan kerana cuba menyerang Menteri Kewangan, Lim Guan Eng di tempat letak kereta Kompleks Sukan Bukit Jalil di sini, malam tadi didapati positif ganja.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Seri Mazlan Lazim berkata, lelaki tempatan berasal dari Puchong itu direman tiga hari bagi mengenal pasti motif kejadian.

“Hasil ujian saringan air kencing ke atas suspek dapati dia positif ganja.

ARTIKEL BERKAITAN: Tular video lelaki menjerit ke arah Guan Eng

“Suspek kini direman tiga hari sehingga Sabtu ini. Kes disiasat mengikut Seksyen 14 Akta Kesalahan Kecil 1955 dan Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Dalam kejadian kira-kira jam 8.30 malam itu, Guan Eng, yang baru selesai merasmikan Majlis Penutup 8TV CNY Grand Bazaar, sedang bergambar dengan orang ramai dan ingin masuk ke keretanya, sebelum seorang lelaki berjubah putih tiba-tiba menjerit ke arahnya.

Kekecohan hampir tercetus apabila lelaki itu cuba mencetuskan provokasi, dengan mengungkatkan kata-kata 'panas' yang tidak difahami.

Bagaimanapun tindakan lelaki itu tidak mendapat perhatian Guan Eng apabila beliau terus menaiki kenderaannya dan meninggalkan lokasi berkenaan.

Lelaki itu juga dilihat seperti memegang sesuatu yang terselit di pinggangnya dan memarahi pasukan keselamatan yang cuba mengambil barang terbabit.

Artikel Berkaitan:

Keengganan lelaki itu bekerjasama dengan pihak keselamatan selain berterusan membuat provokasi menyebabkan polis terpaksa menangkapnya bagi mengawal keadaan.