Bina Puri nafi lantik ejen jual tanah di Karak

Tong Leong (tengah) pada sidang akhbar di Dewan Perhimpunan Cina Kuala Lumpur di Desa Petaling hari ini.
Tong Leong (tengah) pada sidang akhbar di Dewan Perhimpunan Cina Kuala Lumpur di Desa Petaling hari ini.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Syarikat Bina Puri Holdings Bhd membuat laporan polis berkaitan seorang individu yang disyaki menjadi dalang sindiket penipuan jual beli tanah di Karak, Bentong baru-baru ini.

Ketua Pegawai Operasi Bina Puri, Lee Tong Leong berkata, laporan polis dibuat pada 15 Oktober lalu terhadap seorang individu bernama Steven Goh yang didakwa memperdaya pembeli dengan menawarkan harga serendah RM10,000 bagi setiap ekar tanah pertanian.

Menurutnya, Steven Goh juga dikatakan menjadi dalang sindiket penipuan itu dengan memaklumkan kepada pelanggan yang status tanah itu ialah milik kerajaan tetapi boleh dipindah milik.

Tong Leong (tengah) menunjukkan bukti cubaan sindiket memperdaya pembeli.
Tong Leong (tengah) menunjukkan bukti cubaan sindiket memperdaya pembeli.

"Hakikatnya tanah tersebut ialah milik syarikat Karak Land Sdn Bhd iaitu anak syarikat Bina Puri Holdings Bhd.

"Kegiatan Steven Goh terbongkar selepas seorang individu mengiklankan penjualan tanah itu secara terbuka di Facebook baru-baru ini sebelum disedari seorang kakitangan Bina Puri Holdings Bhd," katanya pada sidang akhbar di Dewan Perhimpunan Cina Kuala Lumpur di Desa Petaling di sini hari ini.

Tong Leong berkata, pihaknya telah menghubungi individu yang mengiklankan penjualan tanah itu dengan menyamar sebagai pembeli bagi mendapatkan pengesahan.

"Satu temu janji dibuat di sebuah pejabat di Bentong yang dikatakan pejabat guaman, kami kemudian diberikan dokumen tawaran harga beserta pelan lokasi tanah yang dimaksudkan.

Artikel Berkaitan:

"Kami dapat sahkan yang sememangnya kedudukan tanah yang dimaksudkan itu milik syarikat kami. Justeru kami telah membuat laporan polis untuk siasatan lanjut," katanya.

Iklan penjualan tanah di Facebook dikesan baru-baru ini.
Iklan penjualan tanah di Facebook dikesan baru-baru ini.

Menurutnya, sidang akhbar itu juga bertujuan memberi penjelasan kepada orang ramai bahawa pihaknya tidak melantik mana-mana syarikat atau ejen jualan bagi menjual tanah yang dimaksudkan.

Katanya, aktiviti penipuan tersebut dikhuatiri merosakkan nama baik syarikat dan imej tidak baik kepada pelanggan.

"Orang awam dinasihatkan lebih berhati-hati. Bagi mengelakkan penipuan, pembeli dinasihatkan membuat semakan status tanah dengan pejabat tanah terlebih dahulu dan merujuk peguam serta mengenal pasti pemaju," katanya.

Katanya lagi, tanah tersebut dalam perancangan untuk dibangunkan dan sebelum ini beberapa kawasan berkenaan telah dijual secara berfasa, namun harganya RM300,000 setiap ekar dan bukan seperti yang ditawarkan sindiket terbabit.