835 kes positif Covid-19, dua kematian dicatatkan

Dr Noor Hisham Abdullah. Foto Bernama
Dr Noor Hisham Abdullah. Foto Bernama
A
A
A

PUTRAJAYA - [DIKEMAS KINI] Kes baharu koronavirus (Covid-19) hari ini kembali ke tiga angka dengan 835 kes berbanding 1,240 semalam, sementara 674 kes pulih dan dua lagi kes kematian dilaporkan.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, perkembangan itu menjadikan jumlah kumulatif kes positif ialah 28,640, dengan jumlah kes aktif dengan kebolehjangkitan adalah 9,903 kes.

“Ingin dimaklumkan daripada 835 kes baharu pada hari ini, terdapat lima kes import yang mendapat jangkitan dari luar negara melibatkan satu warganegara dan empat bukan warganegara yang tiba dari India (2 kes), Indonesia, Thailand dan Bulgaria.

“Sukacita dimaklumkan pada hari ini, negeri Sabah mencatatkan penurunan jumlah kes baharu sebanyak 517 kes (55.8 peratus) iaitu daripada 927 kes kepada 410 kes,” katanya pada sidang akhbar perkembangan situasi Covid-19 di sini hari ini.

Sehingga kini katanya, terdapat 89 kes positif Covid-19 yang sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU), di mana 32 kes memerlukan bantuan pernafasan.

Memperincikan lanjut, Dr Noor Hisham berkata, walaupun terdapat penurunan kes baharu di Sabah, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) masih terus giat menjalankan aktiviti saringan dan pengesanan kes secara aktif di seluruh negeri Sabah.

“Ini kerana, masih terdapat sebanyak 44 kluster yang aktif di Sabah dan peningkatan kes harian tempatan masih boleh berlaku,” katanya.

Manakala pecahan kes di negeri lain, Negeri Sembilan mencatatkan 155 kes, Selangor (125), Labuan (74), Sarawak (16), Pulau Pinang (13), Perak (11), Kuala Lumpur (9), Johor (8), Kedah dan Terengganu masing-masing 4 kes, dan Putrajaya satu kes.

Artikel Berkaitan:

Mengulas mengenai kes kematian hari ini, Dr Noor Hisham berkata, kedua-dua kes berlaku di Sabah melibatkan seorang lelaki warganegara berusia 82 tahun dan seorang wanita bukan warganegara berusia 53 tahun, di mana kedua-duanya meninggal dunia di Hospital Tawau.

Perkembangan terbaharu ini menjadikan jumlah kumulatif kes kematian Covid-19 di Malaysia adalah sebanyak 238 kes atau 0.8 peratus daripada jumlah keseluruhan kes. - Bernama