78 pejuang disokong Turki terbunuh di Syria

Gambar fail menunjukkan kemusnahan yang berlaku akibat peperangan melibatkan kumpulan-kumpulan pejuang dengan tentera Presiden Bashar al-Assad yang meletus di bandar Ariha, wilayah Idlib, Syria. - Foto AFP
Gambar fail menunjukkan kemusnahan yang berlaku akibat peperangan melibatkan kumpulan-kumpulan pejuang dengan tentera Presiden Bashar al-Assad yang meletus di bandar Ariha, wilayah Idlib, Syria. - Foto AFP
A
A
A

BEIRUT - Serangan udara yang dilakukan oleh sekutu Damsyik, Rusia telah menyebabkan 78 pejuang yang disokong oleh Turki terbunuh di barat laut Syria semalam, kata sebuah kumpulan pemantau negara berkenaan.

Menurut Pemantau Hak Asasi Manusia Syria, lebih 90 orang lagi cedera apabila jet-jet pejuang Rusia menyasarkan sebuah kem latihan kumpulan Faylaq al-Sham di kawasan Jabal Duwayli di wilayah Idlib.

Ia merupakan satu kejadian pertumpahan darah yang melibatkan angka kecelakaan paling ramai sejak gencatan senjata dimeterai antara Moscow dengan Ankara hampir lapan bulan lalu.

Pada awal Mac lalu, satu gencatan senjata dimeterai antara Rusia dan Turki bagi menghalang serangan daripada tentera rejim Bashar al-Assad yang mendapat sokongan Moscow di wilayah Idlib, kata kumpulan pemantau terbabit.

Ketua badan pemantau tersebut, Rami Abdel Rahman menggambarkan serangan berkenaan yang berlaku dekat sempadan Turki itu adalah melibatkan jumlah korban yang paling ramai selepas gencatan senjata tersebut dimeterai.

Beliau berkata, ia juga adalah serangan udara Rusia yang turut melibatkan angka kecelakaan paling ramai dalam satu hari sejak Moscow campur tangan di Rusia pada tahun 2015.

Di bandar Idlib, seorang wartawan AFP melihat berpuluh-puluh orang menghadiri majlis pengebumian beberapa pejuang itu.

Kumpulan Barisan Pembebasan Kebangsaan (NLF) iaitu sebuah kumpulan yang memayungi barisan kumpulan pejuang dan disokong oleh Ankara serta berpangkalan di Idlib termasuk Faylaq al-Sham memberitahu AFP bahawa serangan Rusia semalam telah menyebabkan salah satu kedudukannya dibedil sekali gus mengakibatkan anggota-anggotanya mengalami kecelakaan.

Artikel Berkaitan:

Ia menyatakan akan melancarkan serangan balas.

Seorang penganalisis, Nicholas Heras daripada Institut Kajian Peperangan mendakwa, serangan itu adalah mesej untuk Presiden Turki, Recep Tayyip Erdogan.

Katanya, Presiden Rusia, Vladimir Putin, mahu memberitahu Erdogan bahawa beliau mampu melancarkan serangan ke atas kumpulan pejuang yang menjadi proksinya di Syria jika Turki meningkatkan aktiviti ketenteraan menentang kepentingan Moscow di Libya, Syria dan Nagorno-Karabakh.

Peperangan di Syria yang meletus berikutan protes antikerajaan pada tahun 2011 telah menyebabkan lebih 380,000 orang terbunuh dan berjuta-juta lagi hilang tempat tinggal. - AFP