X

Kindly register in order to view this article
!

Syed Saddiq mahu semua pemimpin pecahkan tembok politik

Syed Saddiq
A
A

SHAH ALAM - Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman mahu semua pemimpin untuk bersatu memecahkan tembok politik bagi memastikan kepentingan negara diletakkan di hadapan bagi menyelesaikan Covid-19.

Kata beliau, semua pemimpin politik sama ada dalam kerajaan atau pembangkang perlu mendengar nasihat dan saranan Yang di-Pertuan Agong bagi menyelesaikan masalah yang melanda negara pada ketika ini.

“Tidak boleh kita hadapi Covid-19 dengan keadaan politik yang tidak stabil dan pada masa sama asyik berebut kuasa antara satu sama lain.

“Saya berharap agar kita semua melangkah ke hadapan dan bincang hala tuju bersama dan saya amat yakin kita dapat lakukan. Ketepikan dahulu soal mahu merebut kuasa dan pilihan raya selepas kita berjaya atasi Covid-19,” katanya ketika dihubungi di sini malam tadi.

Beliau yang merupakan Pengasas Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda Malaysia) berkata, sudah ramai pemimpin parti pembangkang mengetengahkan pandangan mereka dan bersedia untuk membantu menyelesaikan masalah Covid-19.

“Sekarang apa yang Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin perlu lakukan ialah panggil semua parti untuk duduk semeja dan berbincang. Makin lama dibiarkan keadaan akan bertambah sukar.

“Malah Yang di-Pertuan Agong sendiri mahu kita semua duduk semeja dan jika kita baca titah Tuanku yang bukan sahaja tentang menolak darurat tetapi mahu kita semua duduk semeja

“Jangan kita terima satu perenggan yang dititahkan oleh Agong tetapi perkara yang lain yang dibangkitkan kita pejam mata,” ujar beliau.

Sehubungan itu, Syed Saddiq yang merupakan bekas Menteri Belia dan Sukan mencadangkan agar kerajaan memperoleh sokongan dwiparti untuk meluluskan Belanjawan 2021 menerusi perjanjian ‘keyakinan dan pembekalan’. “Dalam sistem Parlimen Westminster perjanjian ‘keyakinan dan pembekalan’ bermaksud sesebuah parti itu atau ahli Parlimen bersetuju menyokong undi percaya atau rang undang-undang kerajaan sedia ada, sama ada dengan pengundian memihak kepada dasar tersebut ataupun mengecualikan diri,” katanya.

Tambah beliau, syarat kerjasama dwiparti itu dengan pembangkang masih berperanan tetapi tiada pilihan raya umum diadakan sehingga Covid-19 stabil dalam masa setahun atau dua tahun lagi.

Syed Saddiq

Kenyataan yang dikeluarkan pejabat Penyimpan Mohor Besar Raja-raja malam tadi.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!