X

Kindly register in order to view this article
!

FAM akan bincang dengan AFC

Stuart Ramalingam
A
A

PERSATUAN Bola Sepak Malaysia (FAM) akan mengadakan rundingan dengan Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) berhubung isu Lesen Pro Diploma AFC yang perlu dimiliki oleh semua jurulatih Liga Malaysia (Liga-M).

Setiausaha Agung FAM, Stuart Ramalingam berkata, rundingan yang dijadualkan berlangsung minggu depan itu juga bertujuan untuk mendapatkan khidmat nasihat daripada AFC bagi membantu memudahkan urusan jurulatih-jurulatih Liga-M memiliki lesen berkenaan.

Menurut Stuart, khidmat nasihat berhubung perkara berkenaan penting pada ketika ini terutamanya dalam situasi semasa pada hari ini.

“Seperti yang kita pernah katakan sebelum ini, FAM akan akan berunding dengan AFC dan seterusnya mendapatkan khidmat nasihat daripada mereka.

“Khidmat nasihat ini kita rasakan perlu terutamanya dalam tahun dan keadaan yang agak luar biasa hari ini,” katanya kepada Sinar Harian semalam.

Setiausaha Agung AFC, Datuk Windsor Paul John sebelum ini menyatakan bahawa badan induk bola sepak Asia itu bersedia menjadi pemudahcara bagi menyelesaikan proses memiliki lesen Pro Diploma AFC kerana perkara itu termaktub dalam pelesenan kelab iaitu Recognition of Coaching Competence (RECC)

Difahamkan, semua jurulatih yang masih belum memiliki lesen Pro Diploma AFC itu boleh membuat permohonan kepada AFC menerusi FAM untuk dipertimbangkan, namun hanya kelonggaran sementara kerana jurulatih masih perlu mengikuti kursus Lesen Pro A berkenaan.

Terdahulu timbul permohonan daripada jurulatih pasukan Liga Premier seperti ketua jurulatih Pulau Pinang, Manzoor Azwira Abdul Wahid, Nidzam Adzha Yusoff (Kuala Lumpur) yang berjaya membimbing pasukan masing-masing beraksi saingan Liga Super 2021 supaya diberikan kelonggaran membimbing pasukan masing-masing.

Bagaimanapun, mereka berdua masih belum memiliki Lesen Pro Diploma AFC sedangkan memiliki lesen berkenaan antara syarat dikenakan AFC kepada semua jurulatih dalam saingan Liga Super 2021.

Perkara sama juga dilaporkan berlaku kepada bekas ketua jurulatih Sabah, Jelius Ating yang tidak memiliki Lesen Diploma AFC walaupun berjaya membawa Sabah muncul juara Liga Premier 2019.

Sementara itu, Stuart berkata, FAM juga akan sedia membantu untuk memudahkan permohonan daripada jurulatih saingan Liga-M untuk memperoleh lesen berkenaan.

“Ya, sudah tentu FAM cuba membantu permohonan daripada jurulatih-jurulatih ini bagi mendapatkan lesen berkenaan,” katanya.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!