Polemik undang-undang dua darjat

No Image Caption
A
A
A

NO man is above the law in this country (tiada sesiapa boleh terlepas daripada tindakan undang-undang di negara ini).

Itu adalah antara ungkapan yang sering kita dengar diucapkan oleh banyak pihak baik pengamal undang-undang dan juga ahli-ahli politik.

Dalam musim pandemik Covid-19 yang menghantui seluruh dunia juga, semua orang terikat dengan undang-undang yang melibatkan pandemik itu mengikut akta dan peraturan yang diwartakan oleh kerajaan.

Yang pasti undang-undang khas pada musim perintah ‘berkurung’ bukan sahaja dilaksanakan di Malaysia bahkan di luar negara.

Dan yang lebih penting, ia bukan hanya dikuatkuasakan ke atas orang ramai, bahkan pelbagai pihak baik pemimpin dan kakitangan kerajaan.

Malangnya, ada segelintir pihak terutamanya pemegang tampuk kuasa mengambil mudah sama ada secara tidak sengaja atau sengaja melanggar peraturan itu.

Di Malaysia, Timbalan Menteri Kesihatan, Datuk Dr Noor Azmi Ghazali sendiri pernah dijatuhi hukuman denda maksimum RM1,000 oleh Mahkamah Majistret di Gerik kerana melanggar Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dengan menghadiri satu program jamuan pada April lalu.

Namun bulan lalu, nama seorang lagi anggota Kabinet disebut-sebut melanggar arahan kuarantin di rumah.Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman Razali didakwa tidak mengkuarantinkan diri selama 14 hari selepas balik dari Turki pada Julai lalu.Kementerian Kesihatan kemudian mengenakan kompaun sebanyak RM1,000 terhadap menteri itu kerana melanggar Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342).

Artikel Berkaitan:

No Image Caption

Malah, Khairuddin mengambil tanggungjawab di atas kesilapan itu dengan memohon maaf dan menyumbangkan gajinya selama empat bulan kepada Tabung Covid-19.

Namun, pengumuman Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Huzir Mohamed bahawa pihak polis tidak akan mengambil tindakan lanjut ke atas Khairuddin atas arahan Pejabat Peguam Negara menimbulkan persoalan.

Huzir menjelaskan Pejabat Peguam Negara memaklumkan menteri berkenaan tidak diberikan borang menjalani kuarantin diri.

“Siasatan telah dirujuk ke Pejabat Peguam Negara dan arahan untuk kes itu adalah no further action (NFA), atas alasan menteri tidak diserahkan dengan borang 14b di bawah Seksyen 15 (1) Akta 342 bagi tujuan menjalani perintah kuarantin,” katanya,

David Clark
David Clark

Hukuman setimpal

Hakikatnya, kes pelanggaran SOP dan peraturan pada waktu pandemik Covid-19 bukan hanya melibatkan menteri di Malaysia.

Namun, yang lebih penting bagaimana hukuman ke atas menteri terbabit dibuat supaya beliau tidak terlihat tidak tertakhluk kepada undang-undang.

Di New Zealand, contohnya, seorang menteri yang melanggar PKP akhirnya meletak jawatan beliau apabila kesalahannya itu diketahui rakyat.

Menteri Kesihatan di negara itu, Dr David Clark mengaku melakukan perjalanan sejauh 20 kilometer ke pantai bersama keluarganya dan kesal dengan perbuatan beliau.

Menurut David, pada ketika dia meminta rakyat New Zealand membuat pengorbanan, dia telah mengecewakan mereka.

Persoalannya, bolehkah menteri ataupun exco kerajaan di Malaysia ketika ini berbuat demikian atau dijatuhkan hukuman yang dikira setimpal?

Maka tidak hairanlah keputusan Jabatan Peguam Negara untuk tidak mengambil tindakan lanjut ke atas Khairuddin terus menimbulkan polemik pelbagai pihak.

Peguam Mohamed Haniff Khatri Abdulla turut berpendapat tindakan itu menyebabkan rakyat mempunyai persepsi negatif bahawa undang-undang dijalankan secara ‘dua darjat’.

“Secara rumusan, keputusan Peguam Negara mencetuskan pelbagai persoalan lanjut yang membuatkan rakyat mempunyai persepsi negatif bahawa kononnya undang-undang dijalankan mengikut darjat individu itu.

“Kita bukannya mahu mempersoalkan keputusan di sini, namun ia menjadi tanda tanya memandangkan kes terhadap menteri itu digugurkan dan ia perlu diperjelaskan,” katanya kepada Sinar Harian.

Haniff turut mempersoalkan adakah dengan alasan Khairuddin tidak pernah menerima borang 14b seperti diperuntukkan dalam Garis Panduan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) yang mengandungi perintah pemerhatian atau pengawasan selaras dengan Subseksyen 15(1) Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342), maka menteri itu tidak perlu dikuarantin?

Haniff berkata, dengan tiadanya borang 14b itu, ia dijadikan alasan pengguguran kes Khairuddin itu terpakai dalam isu kuarantin kendiri kepada seorang menteri yang pulang dari luar negara.

Menurutnya lagi, borang tersebut yang tertera arahan ‘Perintah Pengawasan dan Pemerhatian bagi konteks jangkitan 2019’, secara khusus terpakai kepada kontak pesakit Covid-19 tidak kira sama ada menteri atau rakyat biasa.

“Perintah kuarantin kendiri yang wujud pada ketika itu adalah arahan kerajaan yang menetapkan sesiapa yang kembali dari luar negara wajib menjalani kuarantin kendiri sama ada mereka merupakan kontak atau tidak.

“Selain itu adakah di bawah Seksyen 15(1) Akta 342, menetapkan mana-mana pegawai mempunyai budi bicara untuk mengeluarkan atau tidak borang tersebut.

“Daripada pembacaan seksyen tersebut secara ringkas menunjukkan tidak wujud budi bicara atau hak kepada mana-mana pegawai yang melaksanakan tugas itu untuk tidak mengeluarkan borang kepada sesiapa,” katanya lagi.

Mohd Khairuddin
Mohd Khairuddin

Haniff juga berkata, jika ada budi bicara, mengapa ia dilakukan secara memihak kepada menteri itu?

Dalam pada itu, Haniff turut mengajukan kemungkinan Khairuddin sendiri yang meminta pegawai KKM untuk tidak memberikan borang arahan kuarantin kepadanya.

Sementara itu, Presiden Majlis Peguam Malaysia, Salim Bashir berkata, KKM perlu bertanggungjawab memberikan penjelasan sewajarnya berhubung mengapa Khairuddin tidak diberikan borang 14b di bawah Akta 342.

“Ini penting kerana rakyat perlu tahu adakah keputusan ini adil atau sebaliknya kerana akta berkenaan terpakai kepada semua pihak bukan hanya orang awam, malah termasuk menteri yang sepatutnya melakukan kuarantin kendiri di rumah selama 14 hari selepas beliau pulang dari Turki,” katanya.

Budi bicara

Sudut pandangan berlainan pula diutarakan Prof Madya Dr Khairil Azmin Mokhtar daripada Kuliah Undang-undang Universiti Islam Antarabangsa yang memberitahu, dalam Perlembagaan Persekutuan peruntukan yang berkaitan ialah Perkara 145(3) yang memberi kuasa kepada Peguam Negara menurut budi bicaranya untuk memulakan, menjalankan atau memberhentikan apa-apa prosiding bagi sesuatu kesalahan.

“Maka setiap kesalahan yang dilakukan dihukum mengikut prosedur ditetapkan dan kita tidak mempersoalkan perkara ini kerana kuasa diberikan kepada Peguam Negara.

“Pihak menteri sudah pun dikenakan hukuman denda dan beliau bukannya terlepas langsung daripada hukuman, maka kita perlu lihat pada proses perundangan dan setiap yang ditentukan adalah berdasarkan prosedur ditetapkan,” ulas beliau.