X

Kindly register in order to view this article
!

Had kemampuan hobi berbasikal

A
A

SEJAK kebelakangan ini, aktiviti berbasikal dilihat sudah menjadi trend.

Kini, sudah ramai yang mula meminati dunia sukan berbasikal, bukan sahaja lelaki bahkan kaum wanita, malah golongan artis juga menunjukkan minat berbasikal.

Pada hujung minggu pula, kita dapat melihat pelbagai lapisan usia menjadikan aktiviti itu sebagai hobi sama ada bersama keluarga, rakan ataupun secara sendirian.

Berbasikal juga merupakan antara aktiviti sukan yang sangat baik untuk kesihatan.

Kajian oleh British Medical Association mendapati berbasikal amat sesuai untuk diamalkan oleh penghidap bronchitis dan asma kerana keupayaannya dalam meningkatkan dan memperbaiki fungsi paru-paru.

Aktiviti itu juga berkesan dalam merehatkan minda terutama jika kita berbasikal pada awal pagi atau lewat malam.

Penulis pernah merasai mengayuh basikal berkerangka besi, aloi dan gentian fiber. Basikal zaman dulu tidak sama seperti sekarang, kini ia sudah canggih, malah kerangka basikal model baharu jauh lebih ringan berbanding ‘basikal tua’.Minat mendalam terhadap aktiviti sihat itu mendorong individu tertentu berbelanja besar sehingga puluhan ribu ringgit untuk memiliki basikal berkualiti.

Satu ketika dahulu basikal jenis BMX menjadi pilihan, kini basikal jenis Dahon Vybe D7, Raleigh Ugo Folding Bike, Asogo Mountain Bike dan banyak lagi turut menarik minat orang ramai.

Sesuai

Aktiviti berbasikal juga perlu mengikut kesesuaian tempat serta jenis basikal seperti basikal ride bike, mountain bike, touring bike.

Mereka yang baru menceburi bidang sukan berbasikal disarankan supaya memilih basikal yang betul. Sekiranya minat onroad jadi belilah road bike. Kalau minat onroad dan offroad beli Mountain Bike. Kalau minat melancong pula dan memerlukan ruang beg atas basikal jadi beli touring bike.Mereka yang terhad bajetnya tidak perlu bersusah payah berhabisan untuk membeli basikal yang mahal. Belilah basikal yang sepadan dengan kemampuan dan tujuan kayuhan anda.

Komponen yang terdapat pada sebuah basikal ada yang mahal dan mungkin memerlukan perbelanjaan ratusan ringgit dan boleh mencapai ribuan ringgit untuk dibeli.

Oleh yang demikian penyelenggaraan basikal adalah perlu untuk memastikan pemilik basikal tidak mengeluarkan perbelanjaan yang besar untuk menggantikan komponen tersebut.

Sekiranya kita kerap melakukan kayuhan atau tugasan yang ekstrem, maka pemeriksaan perlu dilakukan dari masa ke masa kerana ia melibatkan keselamatan penunggang dan basikal itu sendiri.

Bagi mereka yang berkeupayaan dari segi kewangan, mereka hanya perlu menghantar basikal ke kedai untuk diselenggara.

Namun bagi segelintir individu pula, menyelenggara basikal sendiri lebih memberi kepuasan dan menjimatkan perbelanjaan.

Setiap kali melakukan aktiviti berbasikal, penunggang basikal perlu menggunakan laluan yang bersesuaian seperti yang disarankan oleh pihak berkuasa.

Larangan aktiviti berbasikal di lebuh raya adalah bertujuan mengelakkan penunggang terdedah kepada risiko yang membahayakan keselamatan diri serta pengguna lain.Pengarah Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Bukit Aman, Datuk Azisman Alias dalam kenyataannya sebelum ini menegaskan penunggang basikal yang ingin menjalankan aktiviti berkenaan perlu sentiasa mematuhi peraturan jalan raya yang telah ditetapkan demi keselamatan diri serta pengguna jalan raya lain.

Azisman berkata, isu penggunaan basikal di lebuh raya kini sedang hangat diperkatakan oleh orang ramai terutama penggemar aktiviti berbasikal.

Menurutnya, aktiviti itu hanya dilarang di lebuh raya, namun masih dibenarkan di jalan Persekutuan, jalan negeri, jalan bandaran dan lain-lain jalan.

Azisman menegaskan, mana-mana individu yang gagal mematuhi papan tanda lalu lintas yang melarang berbasikal di lebuh raya adalah satu kesalahan di bawah Seksyen 79 (2) Akta Pengangkutan Jalan 1987.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!