X

Kindly register in order to view this article
!

Pengundi awal di New York sanggup beratur panjang

Pengundi di New York beratur panjang untuk mengundi bakal Presiden ke-46 AS. - Foto Agensi
A
A

NEW YORK - Pengundi di New York semalam keluar beramai-ramai untuk menunaikan tanggungjawab mereka pada pengundian awal di kota metropolitan terbabit demi memastikan calon Demokrat, Joe Biden meraih kemenangan besar pada Pilihan Raya Presiden Amerika Syarikat (AS).

Barisan panjang dapat dilihat di sepanjang 34th Street dan Seventh Avenue pada hari pertama proses undi awal yang diadakan di bandar kelahiran Presiden Donald Trump tersebut.

Media tempatan melaporkan keadaan sesak di lebih 80 pusat pengundian berikutan prosedur keselamatan yang ketat di tengah-tengah ancaman pandemik koronavirus (Covid-19) yang masih tinggi.

Keputusan tinjauan awal juga meramalkan Trump akan tewas pada kali ini walaupun beliau pernah memperoleh kemenangan tidak dijangka pada 2016.

“Ini adalah hak istimewa kami walaupun terpaksa beratur panjang. Saya berasa semua warga Amerika sewajarnya mengambil peluang ini dan saya sangat teruja untuk berada di sini.

“Kami memerlukan pemimpin baik hati yang akan mempertahankan semua rakyat dan bukan hanya pihak yang menyokongnya,” kata Jerad Ashby, 38, yang merupakan penyokong Biden.

Pekerja kewangan dikenali sebagai Lisa berusia dalam lingkungan 50-an juga senada dengan Ashby yang mahu menggunakan haknya sebagai pengundi.

“Pada 2016, ramai orang berasa terlalu puas hati dan tidak mengundi. Pada kali ini, kita tidak boleh biarkan perkara ini berlaku. Republikan tidak pernah menjadi ‘perkara yang buruk’.

“Tetapi, kali ini ia agak ‘kurang baik’. Oleh itu, saya akan mengundi Demokrat walaupun terpaksa membayar cukai yang tinggi di bawah pentadbiran Biden,” katanya yang juga bimbang keganasan akan tercetus selepas pilihan raya tersebut.

Difahamkan, polis New York telah bersiap sedia sejak beberapa minggu lalu sebagai langkah berjaga-jaga jika protes ganas tercetus malah pasukan keselamatan turut ditempatkan di Madison Square Garden dan 80 pusat pengundian awal yang dibuka sehingga 1 November ini.

Selain itu, pihak berkuasa perbandaran juga merekrut Pasukan Pemerhati Pilihan Raya untuk mengelakkan cubaan pihak yang mahu menakut-nakutkan pengundi. - AFP

INFO:

* Sehingga hari ini, kira-kira 57 juta pengundi telah menunaikan tanggungjawab mereka pada pengundian awal Pilihan Raya Presiden AS 2020.

* Keputusan kaji selidik menunjukkan Trump kini berada di belakang Biden. Calon Demokrat itu juga mendahului secara tipis di negeri kerusi panas seperti Florida yang biasanya menentukan kemenangan Presiden AS.

* Menjelang 10 hari sebelum pemilihan pada 3 November depan, keputusan tinjauan kebangsaan menunjukkan Biden meraih lapan mata secara purata di hadapan Trump.

* Pada Pilihan Raya Presiden AS 2016, Trump menang di 45 daerah New York berbanding 17 daerah yang diraih pesaingnya daripada Demokrat, Hillary Clinton.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!