X

Kindly register in order to view this article
!

OCP kawal kemasukan PATI melalui jalan tikus

AHMAD FUAD
A
A

LAHAD DATU - Operasi Cegah pendatang asing tanpa izin (PATI) atau OCP yang diselaraskan oleh Kawasan Keselamatan Pantai Timur Sabah (Esscom) di lima daerah Zon Selamat Timur Sabah (ESSZone) berjaya mengurangkan kemasukan PATI melalui jalan tikus.

Komander Esscom, Datuk Ahmad Fuad Othman berkata, kejayaan itu dapat dilihat menerusi penurunan pengusiran yang dilakukan oleh pasukan OCP laut sepanjang operasi dilaksanakan pada April hingga September lalu.

"Jika dilihat statistik yang dikeluarkan oleh bahagian operasi laut Esscom memang berlaku pengurangan pengusiran, di mana pada September lalu OCP hanya mengusir 215 PATI berbanding pada awal April lalu iaitu sebanyak 1,400 pengusiran dan memang ada penurunan.

"Selain itu, pengesanan radar yang dikendalikan oleh pasukan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) juga menunjukkan terdapat pengurangan pergerakan bot kecil terutamanya pada waktu malam, yang hanya ada melibatkan pergerakan kapal-kapal dagang saja," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Beliau berkata, kejayaan ini adalah hasil kerjasama dan sokongan serta kerja keras semua pasukan keselamatan yang terlibat dalam operasi ini yang terdiri daripada Pasukan Polis marin (PPM), Agensi penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM), Pasukan Gerakan Am (PGA) dan ATM yang bekerja tanpa henti terutamanya di kawasan 'hotspot' dan laluan PATI.

"Setakat ini terdapat 10 kapal ronda dan 32 bot kecil telah diatur gerak bagi membantu mengawal perairan pantai timur Sabah terutamanya di lima daerah hotspot PATI meliputi Sandakan, Lahad Datu, Kunak, Semporna dan Tawau hingga ke Kalabakan.

"Buat masa ini, Kita akan reka operasi kita berdasarkan kepada jumlah aset dan keanggotaan yang kita ada dan sekiranya ada tambahan keanggotaan serta aset daripada agensi keselamatan lain, kita akan reka balik mengikut jumlah keanggotaan yang ada," katanya.

Mengulas berhubung perlaksanaan OCP daratan, beliau berkata, ia sudah diaktifkan pada awal Ogos lalu dan akan diperluaskan ke kawasan hotspot terutamanya di pesisiran pantai yang disyaki menjadi laluan kemasukan PATI.

"Secara keseluruhannya, dalam lima OCP daratan, Esscom telah atur gerak seramai 358 anggota yang terdiri daripada PGA, ATM dan dibantu oleh agensi yang lain seperti polis bantuan Felda dan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD)," katanya.

Sehubungan itu, beliau yakin bahawa operasi yang telah diaturkan oleh Esscom iaitu OCP laut dan daratan ini akan berjaya mengurangkan kemasukan PATI.

"Ia sekali gus akan dapat membantu mengurangkan penularan jangkitan pandemik koronavirus (Covid-19) dalam kalangan PATI," katanya.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!