Pelumba motosikal tempatan perlu berdisiplin untuk berjaya
PELUMBA tunggal kelas MotoGP negara, Hafizh Syahrin Abdullah menyifatkan disiplin memainkan peranan penting untuk menjadi pelumba motosikal yang mempunyai prestasi konsisten dan berjaya dalam arena perlumbaan motosikal dunia.
Hafizh Syahrin mengakui banyak cabaran yang perlu ditempuhinya pada saat bergelar pelumba Moto2 pada tahun 2012 negara namun pengalaman dan bangkit daripada kegagalan menjadikan beliau seorang pelumba lebih matang.
Pada usia 24 tahun, Hafizh Syahrin melakar sejarah apabila muncul pelumba tempatan pertama di peringkat Asia Tenggara beraksi dalam perlumbaan kelas premier, MotoGP musim lepas.
Lebih membanggakan, peluang yang diberikan telah dimanfaatkan dengan baik selepas muncul pelumba rookie kedua terbaik dunia musim 2018.
“Dua tahun lalu, kita ada empat pelumba tempatan, tahun lepas tiga orang dan tahun ini tinggal kami (Hafizh Syahrin dan Khairul Idham Pawi) berdua sahaja di perlumbaan MotoGP. Bukan makin bertambah tetapi semakin berkurang.
“Tetapi itulah dunia sukan permotoran, saya faham dengan keputusan pasukan masing-masing. Saya berharap pelumba lain di luar sana perlu bangkit dan perbaiki diri masing-masing serta fokus dengan tujuan perlumbaan,” katanya dalam temu bual eksklusif bersama Bernama.
Sebagai pelumba sepenuh masa, Hafizh Syahrin berkata beliau perlu memikirkan masa depan yang lebih baik dan tidak mahu kariernya sia-sia begitu sahaja kerana masalah disiplin diri.
Untuk Kejuaraan Motosikal Dunia tahun ini, Hafizh Syahrin akan mewakili pasukan Red Bull KTM Tech 3 manakala Khairul Idham yang mewakili Petronas Sprinta Racing Team akan menghangatkan saingan kelas Moto2.
Dalam pada itu, Hafizh Syahrin berkata sokongan peminat amat diperlukan walaupun kini hanya beliau dan Khairul Idham sahaja yang mengambil bahagian.
Bagaimanapun, beliau tidak menafikan saingan perlumbaan musim ini lebih mencabar apabila beliau akan menggunakan jentera baharu, KTM RC16 dan memerlukan masa untuk memahami aspek teknikal jentera berkenaan.
Sementara itu, Khairul Idham percaya sentiasa berfikiran positif mampu membawa kariernya lebih jauh dalam arena permotoran meskipun mempamerkan pencapaian kurang menyerlah dalam dua musim sejak penampilan pertamanya dalam kelas Moto2 pada 2017.
Pelumba berusia 20 tahun yang akan memulakan aksi musim ini dengan pasukan baharu, Petronas Sprinta Racing Team berkata beliau tidak mahu terlalu memikirkan prestasi lepas sebaliknya mahu fokus kepada prestasi dan tekniknya pada musim ini.
"Musim lepas memang agak mencabar bagi saya, apa yang saya belajar dari musim lepas adalah sentiasa positif walaupun hadapi kesukaran. Dengan berfikiran positif saya dapat perbaiki prestasi saya.
"Bagi saya, mentaliti yang positif dan tenang akan mewujudkan keyakinan untuk berjaya. Jika saya terlalu memikirkan prestasi mendatar musim lepas, ia tidak akan ke mana, mungkin ia memudaratkan diri saya," katanya.
Mengulas mengenai pasukan baharu, Khairul Idham ternyata kelihatan teruja untuk memulakan aksi pertamanya dengan jentera Yamaha di Grand Prix (GP) Qatar di Litar Antarabangsa Losail pada Mac ini.
Beliau juga yakin dengan kehadiran mekanik dari Malaysia, Habibtullah Mohd Fuad bersamanya di Perancis, ia memudahkan proses komunikasi dalam penambahbaikan jenteranya berbanding musim lepas, di mana Khairul Idham mengakui berdepan masalah komunikasi dalam pasukan terdahulu.
"Saya akui musim lepas saya ada masalah komunikasi dan saya harap dengan kehadiran Habib tidak lagi wujud masalah itu yang boleh mengganggu fokus saya. Komunikasi dalam pasukan memang memainkan peranan besar dalam perkembangan prestasi seseorang pelumba.
"Namun saya kena cepat belajar dan biasakan diri dengan jentera Yamaha ini. Kali pertama saya cuba adalah pada tahun lepas di Jerez," katanya, yang menyasarkan berada dalam kedudukan 15 terbaik musim ini.
Dalam perkembangan lain, Khairul Idham mengakui beliau tidak tertekan apabila diletakkan harapan oleh Principal pasukan Petronas Yamaha Sepang Racing Team (SRT) Datuk Razlan Razali yang mahu beliau menjadi pelumba negara pertama mewakili pasukan MotoGP sulung negara.
Razlan sebelum ini berkata Khairul Idham mempunyai masa dua tahun untuk membuktikan keupayaannya kerana mereka (Petronas Yamaha SRT) mahu beliau menjadi pelumba Malaysia pertama dalam pasukan itu.
Untuk rekod, Khairul Idham muncul pelumba pertama Malaysia pernah memenangi dua perlumbaan kelas Moto3 di Grand Prix Argentina dan Grand Prix Jerman pada 2016 ketika mewakili Honda Team Asia. - Bernama