Agong, Raja benteng rakyat Malaysia

No Image Caption
A
A
A

SEMALAM, lebih 31 juta rakyat Malaysia dikejutkan dengan spekulasi proklamasi darurat oleh Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah susulan cadangan itu didakwa sudah diluluskan di peringkat Jemaah Menteri.

Spekulasi mendebarkan itu bagaimanapun tidak menjadi realiti susulan Seri Paduka Baginda mengumumkan mahu mendapatkan pandangan Majlis Raja-raja Melayu terlebih dahulu sebelum membuat keputusan penting di bawah Perkara 150 Perlembagaan Persekutuan.

Difahamkan, cadangan proklamasi darurat dikemukakan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Kabinet kerajaan Perikatan Nasional (PN) demi mendepani ancaman gelombang ketiga pandemik koronavirus (Covid-19) yang telah mencatatkan angka tertinggi 1,228 kes semalam.

Dalam konteks itu, tumpuan seluruh negara kini terarah kepada kebijaksanaan Yang di-Pertuan Agong dan Majlis Raja-raja Melayu untuk membuat satu keputusan bersifat ‘menang-menang’ demi kesejahteraan rakyat negara ini.

Sebelum melangkah lebih jauh, perlu difahami Majlis Raja-raja Melayu ditubuhkan secara formal hasil perancangan British dalam tahun 1948 sebagai menggantikan Mesyuarat Raja-raja Negeri-negeri Bersekutu yang dikenali sebagai Majlis Raja-raja Melayu (Durbar).

Pertama kali diadakan di Kuala Kangsar pada 1897, Durbar dianggotai empat Raja dari negeri Perak, Selangor, Negeri Sembilan dan Pahang dengan mesyuarat itu dipengerusikan Pesuruhjaya Tinggi British.

Durbar timbul daripada perkataan Urdu-Parsi yang membawa maksud ‘Istana Raja’ dengan Mesyuarat Majlis Raja-raja yang pertama kemudiannya diadakan pada 31 Ogos dan 1 September 1948 dan dihadiri kesemua sembilan Raja Melayu.

Pakar sejarah daripada Universiti Teknologi Malaysia, Profesor Madya Dr Kassim Thukiman menjelaskan, rakyat Malaysia perlu memahami realiti dan fakta bahawa sistem pemerintahan beraja dan sistem kesultanan adalah asas peradaban politik Malaysia.

Artikel Berkaitan:

“Paling signifikan, kewujudan sistem Persekutuan hanya dapat dizahirkan apabila Raja-raja Melayu sanggup mengorbankan sebahagian besar kuasa baginda menerusi Perjanjian Persekutuan pada 21 Januari 1948,” katanya.

Dalam politik Malaysia yang semakin kompleks, peranan institusi Yang di-Pertuan Agong dan Majlis Raja-raja Melayu semakin relevan dan signifikan.

Kassim mengambil contoh peristiwa pembentukan kerajaan baharu selepas pilihan raya umum ke-14 (PRU14) apabila Sultan Johor, Sultan Ibrahim Iskandar bertitah ia perlu disegerakan demi kepentingan rakyat.

“Berikutan itu, Sultan Kelantan, Sultan Muhammad V selaku Yang di-Pertuan Agong ketika itu memanggil pemimpin Pakatan Harapan (PH) ke Istana Negara untuk mengadakan perbincangan dan majlis mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri dan menteri Kabinet.

“Ini menunjukkan betapa Yang di-Pertuan Agong dan Majlis Raja-raja memberi perhatian serius kepada kestabilan politik negara,” ujar Kassim.

CHANDRA MUZAFFAR
CHANDRA MUZAFFAR

Cendekiawan sains politik, Dr Chandra Muzaffar pula mengambil contoh kebijaksanaan Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah yang sanggup mencemar duli berjumpa semua 222 ahli Parlimen secara berasingan bagi menyelesaikan krisis keruntuhan kerajaan PH pada akhir Februari lalu.

“Dengan penelitian mendalam dan cermat baginda berserta nasihat Majlis Raja-raja, akhirnya keputusan dibuat dengan Muhyiddin dititahkan sebagai Perdana Menteri baharu pada 1 Mac,” katanya kepada Sinar Harian.

Nasihat Perdana Menteri

Satu lagi contoh precedent case yang membuktikan keberkesanan peranan Majlis Raja-raja dalam menyelesaikan krisis politik negara adalah melibatkan isu pembentukan kerajaan negeri Perak selepas PRU12 pada tahun 2008.

RAIS YATIM
RAIS YATIM

Kembali kepada krisis politik ‘luar biasa’ dihadapi negara ketika ini, Speaker Dewan Negara, Tan Sri Rais Yatim mendakwa Yang di-Pertuan Agong apabila diberi nasihat secara rasmi oleh Kabinet atau Perdana Menteri, maka Seri Paduka Baginda adalah terikat di bawah Perkara 40 Perlembagaan Persekutuan untuk mematuhinya.

“Apa yang dilihat di Istana Kuantan semalam tampak bahawa yang diberi Perdana Menteri merupakan secara rasmi kerana hadirnya semua ketua jentera dan jabatan. Segala apa yang dinasihatkan Perdana Menteri itu seharusnya terpakai oleh Agong berlunaskan nasihat di bawah Perkara 40,” kata tokoh politik itu kepada Sinar Harian.

Mengikut Perkara 40(1) dan (1A), Yang di-Pertuan Agong sememangnya perlu mengikut nasihat tetapi Seri Paduka Baginda boleh meminta pengesahan daripada Perdana Menteri sama ada beliau mempunyai majoriti atau tidak.

Jika tidak, mengikut Perkara 40(2) Seri Paduka Baginda tidak perlu mengikut nasihat dan boleh bertindak mengikut budi bicara sendiri.

Ditanya peranan Majlis Raja-raja dalam pengisytiharan darurat, Rais menegaskan, Majlis Raja-raja tidak terlibat dalam penentuan proklamasi darurat di bawah Perkara 150 Perlembagaan Persekutuan.

Dalam pada itu, beliau menegaskan, apa-apa pengisytiharan yang dibuat Yang Di-Pertuan Agong di bawah Perkara 150 tidak boleh dipertikai atau dicanggah di mana-mana mahkamah menurut kuasa 150(8).

TEO KOK SEONG
TEO KOK SEONG

Bagi penganalisis politik daripada Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Profesor Datuk Dr Teo Kok Seong, pengisytiharan darurat adalah perlu demi menstabilkan politik negara dan memberi jaminan agar kebajikan rakyat terbela pada saat krisis kesihatan dan ekonomi kritikal ketika ini.

Kebijaksanaan Agong

Ditanya sama ada Yang di-Pertuan Agong boleh menolak cadangan atau nasihat Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berhubung pengisytiharan darurat, beliau berkata, pada kebiasaan Istana Negara akan mengikuti nasihat pihak Eksekutif.

“Dalam membuat keputusan, pihak Istana pasti akan merujuk Peguam Negara selain barisan pakar perundangan negara untuk mengelakkan perkara yang boleh berbangkit kemudian hari,” katanya.

Tambahnya lagi, sekiranya Istana tidak sependapat dengan cadangan darurat oleh Perdana Menteri maka ia akan menimbulkan krisis perlembagaan yang tidak sepatutnya berlaku.

SALLEH BUANG
SALLEH BUANG

Bagaimanapun, pandangan berbeza dikemukakan pakar undang-undang, Profesor Datuk Salleh Buang.

Mengakui keputusan Seri Paduka Baginda merujuk dahulu cadangan Muhyiddin kepada Majlis Raja-raja sebagai satu langkah bijaksana, inisiatif itu secara tersirat juga seolah-olah satu strategi ‘membeli masa’ dan langkah berjaga-jaga Seri Paduka bagi menjaga integriti institusi diraja.

“Namun, secara tersirat, saya tidak menolak Seri Paduka Baginda juga mungkin memberi isyarat dan masa tambahan kepada Muhyiddin untuk mengubah fikiran bagi mendapatkan kaedah solusi lebih baik.

“Bagi saya, langkah terbaik adalah Muhyiddin sendiri perlu berjiwa besar untuk menggugurkan cadangan darurat kerana banyak lagi kaedah lain yang boleh dilaksanakan bagi menangani krisis Covid-19 dan ekonomi pada saat ini,” katanya.