'Sukanya kami dapat makan ayam, tidur di hotel'

 Noriza (duduk, kanan) dan anak-anaknya mengakui gembira diraikan dengan makanan berzat dan tidur di hotel selama dua hari yang berakhir hari ini.
Noriza (duduk, kanan) dan anak-anaknya mengakui gembira diraikan dengan makanan berzat dan tidur di hotel selama dua hari yang berakhir hari ini.
A
A
A

KOTA BHARU - Berpeluang makan di restoran, menikmati nasi berlaukkan ayam, ikan, udang dan tidur di hotel bajet selama dua hari merupakan pengalaman paling bermakna dalam hidup buat enam keluarga asnaf terpilih.

Mungkin senario itu nampak biasa, namun bagi keluarga terpilih dari Kota Bharu, Kuala Krai dan Tumpat, peluang ini sukar untuk dilupakan apatah lagi buat ibu bersama dua anaknya yang hidup serba kekurangan.

Bagi Hafisah Kasim, 43, tiada perkataan dapat digambarkan betapa gembira dan bersyukurnya dia bersama anaknya, Norma Ibrahim, 11 dan Mohd Nasrullah, 8, apabila dapat menikmati makanan mewah bagi mereka kerana sebelum ini hanya makan nasi puteh berkuahkan budu dan kadang kala nasi putih digoreng dengan minyak masak.

“Anak-anak saya sangat suka dapat makan ayam, makan stimboat. Mereka tak pernah makan benda ni. Ini semua sangat mewah bagi kami keluarga yang susah begini. Dapat makan nasi kosong dicampur garam pun dah mewah dah.

“Terima kasih kepada penganjur, bagi peluang untuk kami anak beranak merasai nikmat sebegini. Saya pun tidak pernah sampai ke Kota Bharu, bandarnya sangat besar macam Kuala Lumpur,” katanya ketika ditemui di Min House Camp hari ini.

Bagi Noriza Hussain, 35, yang mencari rezeki dengan menyelongkar tong-tong sampah di sekitar Tumpat pula berkata, pengalaman dirasainya itu sangat menggembirakannya meskipun perlu bercuti dua hari.

Hafisah berkongsi kegembiraan dan kesyukuran dengan Che Norhayati (kanan) ketika diraikan di Min House Camp hari ini.
Hafisah berkongsi kegembiraan dan kesyukuran dengan Che Norhayati (kanan) ketika diraikan di Min House Camp hari ini.

“Saya sangat tersentuh walaupun anak saya masih sekolah rendah tapi disebabkan dia terlampau seronok melihat suasana di bandar, ada kereta mewah dan macam macam lagi dia boleh meluahkan hasrat yang mahu belajar bersungguh-sungguh untuk belikan saya kereta.

Artikel Berkaitan:

“Sebelum ini saya terpaksa mendukung anak bongsu sejak dilahirkan yang kini sudah berusia setahun keluar mencari plastik mahupun besi untuk dijual bagi menyara keluarga, sekarang pun masih buat kerja yang sama.

“Malam tadi kami tidur sangat selesa, ada pendingin hawa dan tilam yang tebal serta berspring. Anak-anak tak nak balik rumah sebab boleh makan sedap selama dua hari di sini,” katanya.

Pengalaman luar biasa bagi keluarga berkenaan direalisasikan enam NGO di bawah Gabungan Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) Hadapan Kelantan (GOHEK) bersama Hotel Umi Sue dan beberapa penajaan lain.

Turut sama meraikan kumpulan tersebut ialah Che Norhayati Mohamed dan pemilik hotel bajet Ummi Sue, Mariah Abdullah.

Sementara itu, Che Norhayati berkata, dia sangat berpuas hati dengan penganjuran kali pertama program tersebut kerana dapat menggembirakan golongan yang kurang berkemampuan.

“Ada yang bagi tahu kami mereka tidak pernah sampai ke bandar Kota Bharu dan tidak pernah makan di restoran atau kedai makan yang mahal. Mereka inilah yang kami mahu raikan supaya mereka tidak rasa dipinggirkan,” katanya.

Dalam pada itu, Mariah turut memaklumkan bahawa kebiasaannya pada setiap hujung minggu tempahan di hotelnya sentiasa penuh tetapi demi menggembirakan hampir 50 peserta program tersebut, dia sanggup mengetepikan tempahan tetamu lain.

“Insya-ALLAH kita akan susuli dengan bantuan lain dan akan meneruskan lagi program sebegini serta mengharapkan ada pihak lain akan sudi membantu,” katanya.