Teliti lima aspek elak kerjasama politik berkecai

Kamarul Zaman
Kamarul Zaman
A
A
A

ALOR SETAR - UMNO dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) perlu memanfaatkan tempoh gencatan politik untuk meneliti lima aspek yang berkemungkinan menjadi punca keretakan kerjasama politik di antara kedua-dua parti itu.

Pensyarah Kanan Kolej Undang-undang, Kerajaan dan Pengajian Antarabangsa (COLGIS), Universiti Utara Malaysia (UUM), Dr Kamarul Zaman Yusoff berkata, tempoh bertenang itu akan memberi masa secukupnya untuk kedua-dua parti itu mengkaji kelemahan dan tuntutan yang bakal dihadapi kelak.

Menurutnya, berdasarkan kajian berkaitan kehancuran beberapa kerjasama politik sebelum ini, lima aspek utama itu berpotensi memutuskan mana-mana kerjasama politik sekiranya gagal ditangani.

“Agihan jawatan kerajaan seperti jawatan Menteri, Menteri Besar/Ketua Menteri, jawatan Ahli Exco Kerajaan Negeri dan sebagainya. Seeloknya diwujudkan satu formula jelas yang dipersetujui secara bersama dan seboleh-bolehnya mengambil kira bilangan kerusi dimiliki setiap parti politik,” katanya kepada Sinar Harian hari ini.

Kamarul Zaman berkata, agihan yang adil penting bagi mengelak ketidakpuasan hati mana-mana pihak.

“Contohnya, penetapan kuota enam wakil Pas dan tiga wakil Semangat 46 (S46) untuk lantikan politik bagi segenap peringkat di Kelantan sebagaimana yang pernah diputuskan kerajaan Kelantan pada Oktober 1990,” katanya.

Dalam pada itu, Kamarul Zaman berkata, aspek kedua yang mampu memporak-perandakan kerjasama politik adalah agihan kerusi pilihan raya sama ada kerusi Parlimen mahupun kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN).

Katanya, satu formula jelas yang dipersetujui bersama perlu diwujudkan dengan mengambil kira prestasi yang ditunjukkan setiap parti politik dalam pilihan raya sebelumnya bagi mengelak rasa tidak puas hati khususnya pihak yang memenangi kerusi berkenaan.

Artikel Berkaitan:

"Antaranya menetapkan formula khusus yang boleh dibuat ialah parti politik yang memenangi undi terbanyak di sesuatu kerusi dalam pilihan raya sebelumnya hendaklah diberi keutamaan meletakkan calon di kerusi terbabit melainkan wujudnya pertukaran suka sama suka.

“Aspek lain termasuklah kuasa memilih penjawat awam bagi jawatan kerajaan dan calon pilihan raya. Seboleh-bolehnya perlu mengambil kira kehendak akar umbi setiap parti politik bagi mengelak ketidakpuasan hati mana-mana pihak, selain menetapkan peraturan jawatan kerajaan dan calon pilihan raya hendaklah daripada nama-nama yang dicalonkan oleh setiap parti politik,” katanya.

Sementara itu, Kamarul Zaman turut mengakui tindakan disiplin ke atas ahli-ahli parti rakan juga boleh menjadi pencetus ketegangan.

Justeru, katanya, perlembagaan setiap parti politik gabungan juga perlu diambil kira dan berkemungkinan satu badan boleh diwujudkan secara bersama untuk menangani aduan atau ketidakpuasan hati dalam kalangan ahli parti terhadap ahli parti politik rakan sebelum diserahkan kepada jawatankuasa disiplin parti politik masing-masing.

"Malah aspek mobilisasi antara ahli-ahli parti juga tidak wajar dipandang remeh. Setiap parti perlu ambil kira sensitiviti parti politik rakan, contohnya tetapkan peraturan atau larangan ke atas parti politik daripada mengambil bekas ahli atau pemimpin parti politik rakan sebagai ahlinya.

"Jadi dengan mewujudkan garis panduan yang lebih jelas, termasuk saluran perbincangan rasmi serta penubuhan jawatankuasa penyelaras di segenap peringkat, ia pasti dapat mengelakkan mana-mana kerjasama politik berdepan masalah," katanya.

Rabu lalu, Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mengumumkan gencatan politik bagi memastikan agenda menangani koronavirus (Covid-19) diberi keutamaan dan membantu rakyat yang sedang dihimpit kesusahan.

Begitupun, pengumuman itu agak mengejutkan sebahagian pemerhati politik kerana sebelum itu, Biro Politik UMNO menuntut syarat baharu bagi meneruskan kerjasama antara UMNO dengan Perikatan Nasional (PN) dan desakan itu berlaku selepas Datuk Seri Anwar Ibrahim menghadap Yang di-Pertuan Agong bagi mempersembahkan bukti sokongan majoriti yang didakwa dimilikinya.

ARTIKEL BERKAITAN: UMNO lakukan gencatan politik, tumpu tangani Covid-19: Ahmad Zahid