X

Kindly register in order to view this article
!

Penjara Kepayan Kota Kinabalu alami masalah kesesakan

Penjara Pusat Kota Kinabalu menghadapi masalah kesesakan akibat lebihan kapasiti. Gambar kecil: Masidi Manjun
A
A

KOTA KINABALU - Penjara Pusat Kota Kinabalu menghadapi masalah kesesakan akibat lebihan kapasiti sehingga 81 peratus daripada jumlah ditetapkan.

Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sabah, Datuk Seri Masidi Manjun berkata, itu adalah antara kekangan yang dihadapi pihak penjara sekarang selain kekurangan bekalan peralatan pakaian pelindung diri (PPE).

"Buat masa ini, Penjara Pusat Kota Kinabalu mengalami lebihan kapasiti sehingga 81 peratus daripada jumlah kapasiti yang ditetapkan," katanya dalam satu kenyataan bertulis kepada media di sini semalam.

Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan media berhubung kekangan yang dihadapi pihak penjara selepas pusat itu dilaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) akibat peningkatan kes daripada Kluster Penjara Kepayan.

Masidi bagaimanapun berkata, bagi menampung keperluan ruang tempat tinggal kakitangan yang dikuarantin di kawasan penjara, pihak pengurusan penjara Sabah telah menggunakan semua kemudahan dan ruang yang ada dalam kompleks itu secara maksimum.

"Ini termasuk ruang pejabat, bangunan, dewan, rumah rehat dan bilik mesyuarat.

"Pegawai terbabit juga disediakan kemudahan asas seperti mesin basuh, tilam, bantal, selimut dan kemudahan tempat mandi," katanya.

Mengulas berhubung berapa ramai lagi banduan yang masih belum dibuat saringan, Masidi berkata, terdapat peningkatan jumlah banduan yang kini mencecah 2,898 orang.

"Setakat Khamis lalu, jumlah banduan yang telah disaring adalah seramai 1,131 orang iaitu 39.02 peratus dan daripada jumlah itu, seramai 709 orang atau 62.6 peratus banduan disahkan positif Covid-19," katanya.

Masidi turut berkata, bagi mengelak penularan Covid-19 di Pusat Tahanan Sementara (PTS) lain, kerajaan merancang untuk mewujudkan pusat kuarantin tahanan pendatang asing tanpa izin (PATI).

"Ia adalah bagi tujuan pengasingan dan kuarantin dalam tempoh 14 hari dan sebanyak lapan dewan telah dikenal pasti dan dalam proses penyediaan bersama pihak Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma) dan Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN).

"Pusat kuarantin ini adalah di bawah penyeliaan Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah (JPBD) dan di bawah kawalan keselamatan oleh Jabatan Imigresen Malaysia, Polis Diraja Malaysia (PDRM), Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela).

"Kemasukan tahanan baharu ke PTS juga akan melalui proses semakan yang teliti iaitu mempunyai keputusan ujian calitan yang negatif dua kali bagi saringan Covid-19, tidak bergejala dan akan diletakkan dalam blok tahanan pengasingan bagi pemantauan selanjutnya," katanya.

Sehubungan itu, Masidi berharap langkah itu mampu membantu dalam meminimumkan risiko penularan di pusat tahanan di Sabah.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!